Jurulatih skuad kebangsaan Indonesia B-17, Kurniawan Dwi Yulianto menegaskan kepentingan untuk menjaga keadaan psikologi para pemain mudanya agar tidak terjejas selepas tewas 0-1 kepada Malaysia, malam tadi.

Kekalahan yang nyata merencatkan peluang skuad Indonesia untuk mara ke separuh akhir Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 meskipun beraksi di laman sendiri.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Gelora Joko Samudro, Gresik itu menyaksikan penguasaan lebih dominan skuad muda Indonesia itu gagal diterjemahkan kepada jaringan.

Sebaliknya, Mohammad Fareez Danial Fadzly memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol menerusi tandukan ketika situasi sepakan penjuru pada minit ke-33 sekali gus menewaskan penjaga gol, Noah Leo Duvert.

Kurniawan Tak Mahu Kekalahan Kepada Malaysia Jejaskan Mental Pemain Indonesia B-17
Kredit Foto: FAM

Dengan kekalahan tersebut, Indonesia jatuh ke tangga ketiga kedudukan sementara Kumpulan A. Walaupun berkongsi tiga mata, skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto itu tewas dari segi ‘head-to-head’ kepada Malaysia yang kini berada di kedudukan kedua.

Situasi yang memaksa Indonesia berada dalam keadaan wajib menang dalam aksi terakhir menentang Vietnam di Stadium Gelora Delta Sidoarjo pada Ahad nanti.

Selain itu, mereka perlu berharap agar Malaysia sekurang-kurangnya seri atau tewas dalam perlawanan bertemu Timor-Leste.

Kurniawan Tak Mahu Kekalahan Kepada Malaysia Jejaskan Mental Pemain Indonesia B-17
Kredit Foto: FAM

Kurniawan Tetap Puji Barisan Pemain

“Kami mengawal perlawanan, tetapi beberapa peluang tidak berjaya menjadi gol. Saya memohon maaf atas keputusan yang kurang memuaskan ini, namun saya tetap memberikan penghargaan kepada semua pemain.”

“Sudah tentu perkara ini menjadi bahan penilaian pasukan pada masa akan datang. Saya mohon agar kita terus memberikan sokongan kepada adik-adik ini kerana mereka masih di bawah 17 tahun.”

“Saya tidak mahu kekalahan ini menjatuhkan mental mereka kerana usia ini masih sangat sensitif,” ujar Kurniawan menurut sumber laporan Goal Indonesia.