Bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo mungkin bakal menyaksikan satu detik bersejarah dalam kariernya yang sebelum ini dianggap mustahil.
Hal ini kerana pemenang lima kali Ballon d’OR itu dijangka beraksi bersama anak sulungnya dalam satu pasukan.
Selepas bertahun-tahun melihat kelibat si ayah mendominasi padang, kini masanya sudah tiba untuk si anak, Cristiano Ronaldo dos Santos Jr menyertai legasi hebat itu di peringkat profesional bersama kelab Arab Saudi tersebut.
Perkembangan terkini tersebut disahkan wartawan bola sepak terkenal dunia, Fabrizio Romano memberikan bayangan mengenai perkara yang cukup menarik untuk diperkatakan itu.
Impian Cristiano Ronaldo
Melalui satu hantaran di media sosialnya, Romano mendedahkan bahawa Al-Nassr sedang merancang sesuatu yang luar biasa untuk masa depan dua beranak ini.
Al-Nassr sedang mempertimbangkan secara serius untuk menyertakan Cristiano Ronaldo Jr. ke dalam sesi latihan skuad utama bermula musim 2026/2027.
“Belum ada keputusan rasmi lagi… namun perbincangan dalaman sedang rancak dijalankan mengenai kemungkinan ini dengan pihak Al-Nassr memantau rapi perkembangan Cris Jr dan menilai pilihan ini bermula tahun hadapan.”
Cristiano Jr pada Mei tahun lalu telah dipanggil untuk menjalani latihan pusat bersama skuad Portugal Bawah 15 tahun (B-15) buat pertama kalinya pada usia 14 tahun.
Laporan pada tahun lalu juga ada menyebut bintang kelahiran Portugal itu mengimpikan untuk beraksi dalam satu pasukan bersama anaknya sebelum bersara.
“Saya ingin bermain dengan anak saya yang berusia 14 tahun, tetapi kita akan lihat, ia lebih bergantung kepada saya berbanding dia.”