Datuk Azizulhasni Awang mengakui usia hanyalah sekadar angka selepas beliau melakarkan kejayaan manis dalam mengungguli acara keirin Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai.
Pada usia 38 tahun, Azizulhasni masih mampu mempamerkan aksi bertenaga seperti ditampilkannya malam tadi selepas beliau mengejar satu demi satu pesaing untuk menghadiahkan memori indah buat penyokong tempatan.
Harrie Lavreysen dari Belanda berada di kedudukan kedua manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba Trinidad and Tobago, Nicholas Paul.
Semangat Juang Tinggi Azizulhasni Awang
Kejayaan Azizulhasni Awang itu sekali gus membuktikan bahawa pengalaman luas yang dimilikinya masih menjadi aset utama dalam menghadapi saingan di peringkat tertinggi.
Beliau yang terkenal dengan julukan “The Pocket Rocketman” menggunakan kelebihan taktikal dan ketenangan ketika membuat keputusan pada saat kritikal untuk menewaskan pelumba-pelumba yang lebih muda.
“Saya buktikan kepada atlet negara kita bahawa tak kira apa jua sukan, usia hanyalah angka,” ujar Azizulhasni menurut sumber laporan Bernama.
“Ia tentang mentaliti dan hati. Kalau kita benar-benar mahu, apa sahaja boleh kita capai.”
“Saya harap seluruh atlet berbasikal di Malaysia, tidak kira acara, dapat mengambil semangat ini. Mereka tahu saya belum berada pada tahap terbaik, tetapi saya mempunyai keyakinan tinggi dan mentaliti kemenangan. Saya buktikan bahawa saya masih boleh menang.”