Skuad negara berjaya menamatkan penantian selama 16 tahun untuk melepasi peringkat kumpulan selepas mara ke suku akhir Piala Uber 2026.
Diundi bersama-sama Turkiye dan Afrika Selatan jelas menjadi kelebihan buat kem negara untuk melangkah ke pusingan kalah mati dimana Jepun menanti pada aksi terakhir hari ini.
Malaysia Tamatkan Penantian 16 Tahun Dalam Piala Uber
Kemaraan itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah terutamanya pada aksi menentang Turkiye apabila skuad negara memerlukan hingga ke wakil terakhir untuk menang 3-2.
K. Letshanaa bermula dengan baik selaku perseorangan pertama untuk menewaskan Neslihan Arin 21-16, 13-21, 21-13 bagi memberikan mata pertama buat negara.
Namun, Wong Ling Ching gagal meraih mata kedua selepas tunduk 17-21, 21-15, 18-21 kepada Ozge Bayrak. Mata kedua negara diraih Goh Jin Wei hasil kemenangan 21-14, 21-13 ke atas Zehra Erdem.
Malaysia hampa pada aksi beregu pertama selepas M. Thinaah-Ong Xin Yee tewas kepada Bengisu Ercetin-Nazlican Inci 22-20, 19-21, 19-21 untuk kedudukan terikat 2-2.
Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan menjadi penyelamat skuad negara dengan memberikan mata kemenangan selepas mengatasi Yasemen Bektas-Zehra Erdem 21-18, 21-19.
Kemaraan ke suku akhir disahkan skuad negara hasil kemenangan 5-0 dicatatkan ke atas Afrika Selatan yang sekali gus menamatkan penantian kali terakhir mara ke suku akhir Piala Uber pada edisi 2010 di Kuala Lumpur.
Skuad negara akan bertemu Jepun pada aksi terakhir peringkat kumpulan pada jam 6.00 petang ini.
Sementara itu skuad Piala Thomas akan berhadapan dengan Finland pada aksi kedua peringkat kumpulan juga jam 6.00 petang nanti.