Peledak berbisa Bayern Munich, Harry Kane menjangkakan Paris Saint-Germain (PSG) akan menewaskan Arsenal dalam aksi final UEFA Champions League 2025/26 nanti.

PSG mara ke final buat kali kedua berturut-turut selepas menundukkan Bayern Munich dengan agregat 6-5 manakala Arsenal pula menang ke atas Atletico Madrid 2-1.

Kane pula masih perlu menunggu sekurang-kurangnya setahun lagi untuk menjulang trofi pertama UCL berikutan kekalahan tersebut.

Walaupun memberi tentangan sengit pada aksi timbal balik di Allianz Arena, keputusan seri 1-1 dicatatkan tidak mencukupi untuk menyamakan defisit, sekali gus menyaksikan skuad gergasi Jerman itu terpaksa menelan kepahitan.

Kapten England tersebut sempat meledak gol pada masa kecederaan, namun jaringan itu hanya menjadi gol sagu hati apabila wisel penamat ditiup, sekali gus mencetuskan sambutan meriah daripada pasukan pelawat dari Paris tersebut.

Harry Kane Pilih PSG

Melihatkan kepada prestasi semasa, Kane berpendapat gergasi Perancis itu telah layak dianggap sebagai pilihan utama untuk mempertahankan kejuaraan.

“Paris Saint-Germain mungkin berhak sedikit dianggap sebagai pilihan utama untuk muncul juara, tetapi secara keseluruhan, dua pasukan terbaik akan berentap dan ia akan menjadi perlawanan yang seimbang,” ujar Harry Kane menurut sumber laporan Goal.

“Ia benar-benar seimbang. Dua pasukan yang sangat berbeza dari segi cara permainan, tetapi kedua-duanya sangat kuat. Ia akan menjadi final yang menarik.”

“Kami [Bayern Munich] dan Paris Saint-Germain mempunyai pendekatan yang agak serupa. Beberapa pasukan elit lain pula mempunyai gaya berbeza. Itulah keindahan bola sepak, ia boleh ditentukan oleh apa sahaja cara untuk membawa anda meraih kemenangan,” tambah beliau lagi.

Sumber