Pengurus Napoli, Antonio Conte dilaporkan bersedia menamatkan kontraknya di Stadium Diego Armando Maradona secara persetujuan bersama pada penghujung musim ini.
Bekas pengendali Chelsea dan Juventus itu dikatakan memasang hasrat untuk kembali mengendalikan skuad kebangsaan Itali buat kali kedua selepas kegagalan mereka layak ke Piala Dunia 2026.
Sumber laporan Goal mendedahka bahawa keputusan untuk berpisah tercetus selepas satu mesyuarat penting pada pertengahan April antara pengurus tersebut dan presiden kelab, Aurelio De Laurentiis.
Walaupun berjaya membimbing Partenopei meraih kemenangan ke atas Pisa SC yang mengesahkan kelayakan ke UEFA Champions League untuk satu musim lagi, Conte dilaporkan memberi bayangan kuat bahawa beliau akan meninggalkan kelab sebelum menamatkan kontraknya yang sah sehingga Jun 2027.
Antonio Conte dilaporkan berminat untuk kembali menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan Itali selepas pilihan raya Presiden Persatuan Bola Sepak Itali pada 22 Jun, dengan sasaran untuk mengulangi rekod cemerlang beliau sebelum ini iaitu 14 kemenangan daripada 24 perlawanan bersama pasukan kebangsaan.
Perubahan pengurusan yang bakal berlaku ini turut menyebabkan Napoli berdepan krisis identiti segera ketika mereka cuba merancang peralihan yang lancar serta mengenal pasti sasaran pengganti sebelum jendela perpindahan musim panas dibuka.