Kegagalan Itali mara ke Piala Dunia bagi tiga edisi berturut-turut menjadi antara topik menarik sejak beberapa minggu ini.

Banyak perkara yang diperkatakan mengenai kegagalan tersebut dan ia turut mencuri tumpuan legenda Jerman, Jurgen Klinsmann untuk mengulas mengenai episod hitam dalam bola sepak negara itu.

Itali nyata bukan asing buat Klinsmann kerana beliau pernah menyarung jersi Inter Milan selama tiga musim dan kemudiannya bersama Sampdoria pada kempen 1997/98 buat seketika.

Itali
Kredit Foto: Elvis BARUKCIC / AFP

Komen Klinsmann Tentang Itali

Sehubungan dengan itu, Klinsmann berpendapat bahawa The Azzurri sedang membayar harga mahal akibat kekurangan pemimpin dalam pasukan, kekurangan pemain yang mampu berdepan lawan dalam situasi satu lawan satu, serta kurangnya keyakinan terhadap pemain muda.

“Jika Lamine Yamal (Barcelona) dan Jamal Musiala (Bayern Munich) berada di Itali, besar kemungkinan mereka akan dihantar ke divisyen kedua dengan alasan untuk menimba pengalaman,” ujar Klinsmann menurut sumber laporan Goal.

Klinsmann Dedah Punca Sebenar Kejatuhan Bola Sepak Itali
Kredit Foto: Alberto PIZZOLI / AFP

Beliau turut menuding jari kepada pendekatan yang merosakkan oleh kelab-kelab Serie A terhadap bakat muda, yang kini mencetuskan perdebatan hangat mengenai kekurangan peluang yang diberikan kepada pemain muda Itali dalam skuad utama.

Dalam masa sama, beliau turut membayangkan tentang kekakuan taktikal ramai jurulatih di Itali, yang bermain untuk tidak kalah berbanding berusaha menang habis-habisan, dan apa yang berlaku (kepada pasukan kebangsaan) adalah hasil daripada pendekatan tersebut.

Hakikat yang pahit untuk ditelan, namun ada kebenarannya kenyataan dikeluarkan oleh pemenang Piala Dunia 1990 dan EURO 1996 itu.

Sumber