Itali terpaksa menelan kepahitan gagal ke Piala Dunia 2026 selepas tewas 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Bosnia-Herzegovina dalam aksi yang berlangsung di Stadion Bilino Polje, Zenica sebentar tadi.

Kekalahan itu juga menyaksikan Itali gagal ke saingan paling berprestij di dunia itu bagi tiga edisi berturut-turut dimana sebelum ini tidak berjaya ke Rusia dan Qatar.

Itali Gagal Lagi

Meskipun menurunkan barisan yang dianggap lebih baik berbanding Bosnia, Itali kendalian Gennaro Gattuso jelas berdepan masalah terutamanya selepas kehilangan khidmat pertahanan kental, Alessandro Bastoni susulan kad merah diterimanya pada minit ke-41.

Itali bagaimanapun bermula baik apabila mendahului tuan rumah menerusi jaringan Moise Kean setelah menerima umpanan Nicolo Barella pada minit ke-15.

Namun ketika Itali beraksi dengan kekurangan pemain, Bosnia mengambil kesempatan itu untuk mengikat kembali kedudukan pada minit ke-79 hasil jaringan Haris Tabakovic.

Itali Gagal Ke Piala Dunia Buat Kali Ketiga Berturut-Turut
Kredit Foto: Elvis BARUKCIC / AFP

Kedudukan tersebut memaksa permainan dilanjutkan ke masa tambahan 30 minit dan kemudiannya pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Kegagalan Francesco Pio Esposito dan Bryan Christante menyempurnakan sepakan membolehkan Bosnia melangkah ke Piala Dunia 2026 dimana Benjamin Tahirovic, Tabakovic, Kerim Alajbegovic dan Esmir Bajraktarevic dengan tenang mengambil tanggungjawab tersebut.

Kali pertama dan terakhir Bosnia dan Herzegovina membuat penampilan di Piala Dunia ialah pada edisi 2014 di Brazil.

Sementara itu, Denmark juga hampa selepas tewas 2-3 kepada Repulik Czch juga menerusi penentuan sepakan penalti.

Turkiye pula melayakkan diri ke Piala Dunia selepas 24 tahun hasil kemenangan 1-0 ke atas Kosovo menerusi jaringan Keren Akturkoglu pada minit ke-53.

Manakala jaringan Viktor Gyokeres memastikan tempat ke Piala Dunia 2026 menjadi milik Sweden yang berjaya menumpaskan Poland 3-2 di Stockholm.