Pusat Latihan Sobha Realty berpesta selepas Arsenal muncul juara English Premier League (EPL) 2025/26 selepas Manchester City sekadar seri bertemu Bournemouth pada aksi yang berlangsung awal pagi tadi.
Keputusan seri yang akhirnya menamatkan penantian selama 22 tahun peminat The Gunners untuk melihat pasukan kesayangan mereka muncul juara EPL.
Kegembiraan jelas terpancar di wajah pengendali Arsenal, Mikel Arteta, dan seluruh barisan pemain yang menyaksikan perlawanan penentu tersebut bersama-sama di pusat latihan pasukan.
Detik bersejarah ini menamatkan kemarau kejuaraan liga yang kali terakhir dijulang oleh skuad The Invincibles kendalian Arsene Wenger pada musim 2003/04.
Manchester City, yang turun dengan misi wajib menang untuk mengheret persaingan takhta liga ke perlawanan terakhir, buntu mencari gol kemenangan di Stadium Vitality.
Disiplin tinggi yang dipamerkan oleh barisan pertahanan Bournemouth akhirnya memaksa skuad kendalian Pep Guardiola berpuas hati dengan keputusan seri, sekali gus memberikan talian hayat mutlak buat Arsenal yang kini selesa di puncak liga dengan kelebihan mata yang tidak lagi boleh dicabar.
Sementara itu di perkarangan Emirates Stadium, ribuan penyokong Arsenal meraikan kejayaan penuh makna itu dengan sorakan dan lautan suar merah yang menerangi ruang angkasa London Utara.
Detik yang dinantikan sejak sekian lama itu akhirnya tiba, mencetuskan suasana karnival luar biasa sejurus selepas wisel penamat di Stadium Vitality ditiupkan.
Sepanjang musim 2025/26, Arsenal memamerkan aksi yang cukup matang dan konsisten. Kegagalan mengecewakan pada dua musim sebelum ini nyata mematangkan The Gunners.
Gandingan mantap barisan pertahanan serta ketajaman jentera serangan menjadi faktor utama mengapa trofi berprestij itu akhirnya kembali ke Stadium Emirates.
View this post on Instagram