Chelsea sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Manchester itu berkaitan dengan usaha kelab itu mendapatkan Enzo Maresca sebagai pengganti Pep Guardiola.
Menurut laporan The Telegraph, Chelsea tidak berpuas hati dengan cara perbincangan awal melibatkan Maresca dan Manchester City.
Ini bukan kali pertama Chelsea bengang dengan perbincangan melibatkan Maresca dan City. Ianya juga pernah menjadi titik tolak kepada keretakan hubungan Chelsea dan Maresca apabila mendapat tahu Maresca berminat menggantikan Guardiola.
Kemhdian terdapat laporan ada komunikasi antara City dan Maresca pada masa itu.
Dan kini Chelsea tidak berpuas hati apabila pengurus asal Itali itu dikatakan sudah berunding dengan Man City ketika dia masih mempunyai kaitan dengan Chelsea.
Fabrizio Romano melaporkan bahawa, Maresca sudah setuju secara lisan kontrak 3 tahun di Man City sekiranya Pep Guardiola meninggalkan kelab itu pada akhir musim ini.
Enzo Maresca sebelum ini pernah berkhidmat dalam struktur kejurulatihan Manchester City di bawah Pep Guardiola sebelum mengambil langkah ke Chelsea.
Maresca memang calon utama dari dulu lagi untuk menggantikan Guardiola. Dia nama yang dipandang tinggi oleh pengurusan Man City yang menganggap dia ibarat mini Guardiola.
Chelsea pertimbang tindakan perundangan
The Telegraph melaporkan, Chelsea sedang menilai beberapa pilihan termasuk tuntutan pampasan kewangan dan kemungkinan membawa kes ini kepada Premier League sekiranya isu tersebut tidak dapat diselesaikan secara baik antara kedua-dua kelab.
Langkah ini mencerminkan ketegangan yang semakin meningkat dalam hubungan antara dua kelab elit Liga Perdana Inggeris tersebut.
Manchester City setakat ini tidak berminat mengulas laporan berkenaan.
Fokus kelab itu dipercayai masih tertumpu kepada perancangan jangka panjang mereka dalam era selepas Pep Guardiola, dengan Maresca dilihat sebagai salah satu individu yang memahami falsafah DNA bola sepak kelab tersebut.