Pengurus Manchester City, Enzo Maresca percaya dakwaan berkaitan kewangan kelab yang timbul di luar padang telah merapatkan lagi hubungan antara semua pihak dalam pasukan itu.

Pengendali dari Itali tersebut turut menyambut baik kebangkitan semula trend belon berbentuk pisang ikonik era 1980-an menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris menentang Ipswich Town pada malam ini.

Simbol nostalgia dari era 1980-an dan 1990-an itu kembali menjadi perhatian apabila penyokong menunjukkan tanda sokongan dan semangat melawan susulan keputusan suruhanjaya bebas berhubung dakwaan pelanggaran kewangan kelab.

Manchester City didapati melakukan lebih 100 pelanggaran peraturan Liga Perdana Inggeris, namun kelab itu tetap menegaskan bahawa mereka tidak bersalah dan telah mengemukakan rayuan.

Sehubungan dengan itu, Maresca percaya tekanan dari luar hanya mengeratkan lagi hubungan antara pemain, kakitangan kelab dan para penyokong.

“Memang menarik. Saya tidak tahu sejarah di sebalik belon berbentuk pisang itu, tetapi saya berharap dapat melihat banyak belon pisang di stadium esok,” kata Maresca menurut sumber laporan Goal.

“Saya fikir perkara ini dapat mewujudkan suasana yang menarik untuk para penyokong dan semua yang berada di stadium.”

“Saya fikir Ruben [Dias] ada mengatakan bahawa orang ramai tidak suka melihat City menang, tetapi kami mahu menang. Jadi, saya fikir itu mesej yang baik untuk semua.”

“Saya fikir, sejak isu ini menjadi bualan ramai, dari sudut pandangan peribadi saya, para penyokong, kelab dan pasukan menjadi lebih bersatu.”

Mengapa Belon Pisang?

Menurut sumber ESPN, amalan itu sebenarnya bermula sejak musim 1987/88. Selepas tersingkir daripada Divisyen Satu, yang ketika itu merupakan liga tertinggi bola sepak England, seorang penyokong Manchester City dikatakan membawa belon besar berbentuk pisang ke stadium ketika perlawanan di Maine Road (stadium lama bagi Manchester City) bagi menceriakan suasana.

Kebetulan, Manchester City ketika itu turut memiliki penyerang popular bernama Imre Varadi. Varadi menghabiskan dua musim bersama City sepanjang kariernya yang menyaksikan beliau sering berpindah kelab.

Dalam tempoh tersebut, beliau mendapat gelaran mesra “Imre Banana” dalam kalangan penyokong di tempat duduk penonton. Gelaran itu mencetuskan peningkatan jumlah belon berbentuk pisang yang dibawa ke tempat duduk penonton di Maine Road.

Amalan tersebut pantas menjadi ikutan dan terus bertahan, meskipun tidak dilakukan secara berterusan, selama hampir 40 tahun.

Belon berbentuk pisang agak biasa kelihatan dalam perlawanan City sepanjang era 1980-an dan 1990-an. Namun, fenomena itu semakin dilupakan pada era moden selepas kelab tersebut berpindah stadium dan diambil alih pemilik baharu pada pertengahan 2000-an.

Bagaimanapun, pertembungan sengit menentang Liverpool pada Ahad menyaksikan fenomena itu kembali apabila ratusan belon kuning berbentuk pisang dilihat bergoyang-goyang di tempat duduk Anfield.

 

Sumber