Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah mengumumkan pelancaran Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) khusus untuk Pemeriksaan Tukar Hak Milik Persendirian (M.V.15) yang dikendalikan oleh Carro Technology Sdn. Bhd.
Inisiatif terbaharu ini adalah susulan daripada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023 yang bersetuju untuk membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor kepada syarikat-syarikat lain yang berkelayakan, selain daripada PUSPAKOM.
Memetik kenyataan rasmi, pelaksanaan pusat pemeriksaan ini tertakluk kepada piawaian dan syarat ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ini termasuklah penyediaan infrastruktur yang lengkap, integrasi operasi dengan sistem MySIKAP, serta pematuhan kepada standard antarabangsa ISO/IEC 17020:2012 bagi memastikan kualiti dan integriti pemeriksaan terjamin.
Langkah pembukaan pusat baharu ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan yang lebih cekap, menyediakan lebih banyak pilihan, dan mengurangkan masalah kesesakan di pusat-pusat pemeriksaan sedia ada.
Bermula pada 16 Jun 2026, sebanyak lapan cawangan pusat pemeriksaan Carro akan mula beroperasi secara serentak.
Berikut adalah senarai lapan (8) lokasi pusat pemeriksaan tersebut:
1. Glenmarie, Selangor
2. Wangsa Melawati, Kuala Lumpur
3. Kajang, Selangor
4. Klang, Selangor
5. Bayan Lepas, Pulau Pinang
6. Melaka
7. Muar, Johor
8.Johor Bahru, Johor
Inisiatif perluasan perkhidmatan ini diyakini akan menyokong usaha Kerajaan MADANI dalam memperkukuh mutu sistem penyampaian perkhidmatan awam di samping terus memelihara tahap keselamatan semua pengguna jalan raya di negara ini.
Selain Carro, beberapa syarikat lain juga sedang dalam proses membangunkan cawangan PPKM M.V.15 mereka di pelbagai negeri.
Antaranya adalah adalah Syarikat Carsome Academy Sdn Bhd (Sg.Buloh, Selangor), Car Medic Sdn. Bhd. (Kajang dan Serdang, Selangor) dan Beriman Gold Sdn. Bhd. (Kuching, Miri, Sibu, Bintulu, Sarawak).