Tunggakan RM314 juta yang terhutang oleh Zetrix AI Bhd kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan fi dan saman yang dikumpul oleh anak syarikat Kumpulan MYEG itu sejak Mei tahun ini, dan bukannya Mei 2023.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama JPJ telah mengambil beberapa langkah bagi mendapatkan semula kutipan berkenaan, termasuk mengadakan empat sesi libat urus bersama pihak berkepentingan sejak Mei lalu, termasuk Kementerian Kewangan, petik Free Malaysia Today.
Menurut beliau, syarikat yang sebelum ini dikenali sebagai MyEG Sdn Bhd itu turut dikeluarkan 35 notis peringatan bagi memindahkan jumlah bayaran berkenaan.
“Pada 21 Ogos lalu, syarikat terbabit menyerahkan sekeping cek bertarikh 30 September bernilai RM231 juta. Bagaimanapun, apabila cek itu dikreditkan pada 30 September, pihak bank memaklumkan ia tidak dapat diproses atas arahan syarikat,” katanya pada satu sidang media di sini.
Pada masa sama beliau menegaskan MOT dan JPJ bakal menetapkan tempoh akhir untuk penyelesaian tunggakan berkenaan selain mengambil tindakan sewajarnya bagi memulihkan dana terbabit.
Pihak kerajaan juga akan mempertimbangkan untuk menarik balik penggantungan perkhidmatan Zetrix selepas semua hutang itu dijelaskan.
Untuk rekod, JPJ telah menggantung perkhidmatan syarikat berkenaan berkuat kuasa hari ini berikutan kegagalan memenuhi kewajipan ditetapkan. Siew Fook bagaimanapun memberi jaminan bahawa kelancaran perkhidmatan JPJ menerusi saluran rasmi dan alternatif jabatan itu tidak terjejas.