Wayne Rooney memberi amaran kepada penyokong Manchester United supaya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi menjelang kempen English Premier League (EPL) musim 2026/27.
Walaupun kelab itu menunjukkan kebangkitan luar biasa di bawah kendalian Michael Carrick, bekas kapten legenda itu percaya cabaran memburu gelaran liga mungkin masih di luar jangkauan.
Manchester United mengalami perubahan besar selepas ketibaan Michael Carrick pada Januari lalu. Bekas pemain tengah itu berjaya membimbing The Red Devils menamatkan musim di tangga ketiga dengan mengutip 39 mata sepanjang tempoh kendaliannya.

Ia merupakan jumlah tertinggi berbanding mana-mana kelab EPL lain dalam tempoh tersebut.
Kebangkitan itu turut menyaksikan Carrick diberikan kontrak dua tahun sebagai pengurus tetap serta memastikan United kembali beraksi di UEFA Champions League (UCL) musim hadapan.
Nasihat Rooney Buat Penyokong Man Utd
“Saya rasa apa yang dilalui Manchester United dalam beberapa tahun kebelakangan ini sangat sukar untuk penyokong mencari sedikit kegembiraan,” kata Rooney menurut sumber laporan Goal.
“Tetapi saya rasa sejak Michael mengambil alih, ada semula harapan dan keyakinan dalam kalangan penyokong Manchester United.”

“Untuk menamatkan saingan di tempat ketiga, saya rasa semua pemain baharu menunjukkan prestasi yang baik. Dan kini kembali ke Champions League, dan harapnya mereka akan menandatangani beberapa pemain yang boleh membantu mereka melangkah ke tahap seterusnya.”
“Pada saya, jangkaan… saya bercakap dengan dia (Carrick) minggu lepas, adalah untuk cuba memenangi setiap kejohanan yang mereka sertai, tetapi pada masa sama perlu juga realistik.”
“Saya rasa, bolehkah anda terus maju dari apa yang telah dicapai? Jadi saya fikir jika United menamatkan musim di kelompok empat teratas musim depan dan mungkin mencabar serta memenangi, mungkin Piala FA dan cuba melakukan yang baik dalam Champions League, saya rasa itu juga merupakan satu kemajuan.”