Penyokong Arsenal membanjiri jalanan di London pada Ahad bagi meraikan kejayaan bersejarah kelab itu menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama sejak tahun 2004.
Suasana sekitar utara London bertukar menjadi lautan merah dan putih apabila penyokong Gunners berkumpul untuk menyaksikan pemain-pemain kesayangan mereka berarak menaiki bas terbuka sambil mempamerkan trofi kejuaraan liga.
The scenes in North London as @Arsenal celebrated their Premier League title with an open-top bus parade 🎉
Take a look through the best photos! 👇
— Premier League (@premierleague) May 31, 2026
Sorakan, nyanyian dan kibaran bendera memenuhi laluan perarakan sepanjang hampir sembilan kilometer berhampiran Stadium Emirates. Malah, ada penyokong yang sanggup memanjat pokok, bumbung serta lampu isyarat semata-mata untuk mendapatkan pemandangan terbaik pasukan kendalian Mikel Arteta.
Arsenal mengesahkan kejuaraan liga pada 19 Mei selepas pencabar terdekat, Manchester City, tercicir mata ketika seri menentang Bournemouth.
Kejayaan itu menamatkan penantian panjang selama 22 tahun dan hadir selepas tiga musim berturut-turut mereka hanya mampu menamatkan saingan sebagai naib juara.
Bagaimanapun, sambutan kejuaraan liga itu sedikit tercalar apabila Arsenal gagal melengkapkan musim gemilang dengan trofi Liga Juara-Juara Eropah.
Dalam aksi final di Budapest pada Sabtu, The Gunners tewas kepada Paris Saint-Germain menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.
Kai Havertz terlebih dahulu meletakkan Arsenal di hadapan sebelum Ousmane Dembele menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti. Dalam penentuan penalti, Eberechi Eze dan Gabriel Magalhaes gagal menyempurnakan tugasan mereka, sekali gus membuka jalan buat PSG mempertahankan gelaran Eropah.
Namun begitu, pemain dan peminat Arsenal segera melupakan kekalahan itu dengan keraian penuh kegembiraan mengelilingi kota London. Ia menandakan kejayaan projek di bawah Mikel Arteta.
Mikel Arteta is loving it 😎 pic.twitter.com/73rELSv5bz
— Sky Sports Premier League (@SkySportsPL) May 31, 2026
Perarakan itu turut meraikan kejayaan Arsenal Women yang muncul juara Piala Juara-Juara Wanita pada Februari lalu, dengan skuad wanita turut menyertai sambutan menggunakan salah satu daripada empat bas yang disediakan.