Liverpool mengesahkan pertahanan tengah mereka, Ibrahima Konate, akan meninggalkan kelab itu apabila kontraknya tamat pada penghujung Jun ini, sekali gus menamatkan perjalanan selama lima tahun bersama The Reds.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan kelab, Liverpool memaklumkan bahawa pemain antarabangsa Perancis itu tidak akan meneruskan kariernya di Anfield selepas kontraknya berakhir musim panas ini.

Liverpool menyatakan: “Ibrahima Konate dijadualkan meninggalkan kelab selepas kontraknya tamat pada musim panas ini. Pertahanan tengah itu akan berpisah dengan Anfield pada penghujung Jun, sekali gus menamatkan tempoh lima tahunnya bersama The Reds,”

Konate menyertai Liverpool dari RB Leipzig pada musim panas 2021 dan segera menjadi antara tonggak utama di bahagian pertahanan. Sepanjang bersama kelab Merseyside itu, beliau mencatatkan 183 penampilan dalam semua pertandingan serta menjaringkan tujuh gol.

Pemain berusia 27 tahun itu turut memainkan peranan penting dalam beberapa kejayaan Liverpool sejak beberapa musim lalu. Antara pencapaian terbesar beliau ialah membantu pasukan menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim 2024/25.

Liverpool turut mengimbas sumbangan Konate sepanjang kariernya di kelab dengan menyatakan bahawa beliau akan meninggalkan Anfield bersama beberapa trofi utama.

“Pemain antarabangsa Perancis itu akan meninggalkan kelab dengan pingat juara Liga Perdana Inggeris hasil peranannya dalam kejayaan musim 2024-25, selain memenangi Piala FA, dua Piala Liga dan Perisai Komuniti,” jelas kenyataan berkenaan.

Walaupun bakal berpisah pada penghujung bulan ini, Liverpool menzahirkan penghargaan terhadap segala jasa yang diberikan oleh Konate sepanjang menyarung jersi merah.

“Konate akan meninggalkan kelab dengan ucapan terima kasih dan penghargaan atas sumbangannya, dan semua warga kelab mendoakan yang terbaik buat masa depannya,” tambah Liverpool.

Pemergian Konate dijangka membuka ruang kepada Liverpool untuk merombak bahagian pertahanan menjelang musim baharu, manakala destinasi seterusnya buat bek tengah Perancis itu kini menjadi perhatian peminat bola sepak Eropah.