Hasrat pengadil Somalia, Omar Abdulkadir Artan, untuk bertugas di Piala Dunia 2026 tidak kesampaian selepas beliau dilaporkan dinafikan kemasukan ke Amerika Syarikat walaupun memiliki visa yang sah.
Perkembangan itu disahkan FIFA yang memaklumkan bahawa Artan tidak akan dapat menjalankan tugasnya sebagai pegawai perlawanan dalam kejohanan berkenaan kerana isu imigresen yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan Amerika Syarikat.
Pengadil terbaik Afrika dinafikan hak mengadili aksi Piala Dunia 2026
Artan, yang dinobatkan sebagai Pengadil Terbaik Afrika 2025, dianggap antara pengadil paling berprestij di benua tersebut selepas mengendalikan beberapa perlawanan antarabangsa utama serta aksi Liga Juara-Juara CAF.
Beliau turut tersenarai dalam kumpulan pegawai perlawanan yang dipilih FIFA untuk Piala Dunia 2026.
Kehadirannya di Piala Dunia 2026 kerana merit di atas prestasinya di dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Beliau menjadi antara pengadil yang dianggap memiliki kredibiliti yang luar biasa.
Kerajaan Somalia sahkan Artan sudah terbang ke AS
Menurut Kementerian Belia dan Sukan Somalia, Artan melakukan perjalanan menggunakan visa Amerika Syarikat yang sah dan turut menerima bantuan daripada Kedutaan Somalia di Nairobi bagi mendapatkan pasport diplomatik.
Namun, beliau tetap diarahkan berpatah balik sebaik tiba di negara itu untuk melapor diri di Piala Dunia 2026.
Insiden tersebut dipercayai berkait dengan dasar larangan perjalanan yang melibatkan beberapa negara, termasuk Somalia, yang diperkenalkan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.
Menurut The Athletico, Artan diletakkan dalam senarai berjaga jaga oleh kerajaan AS yang berkaitan dengan risiko ancaman keselamatan kepada negara itu.
A Somali referee who is due to officiate at the World Cup has been denied entry to the U.S. after “vetting concerns” emerged upon his arrival in Florida over the weekend.
Omar Artan arrived at Miami International Airport on a flight from Istanbul on Saturday but was barred from… pic.twitter.com/vsMa2NnsuN
— The Athletic | Football (@TheAthleticFC) June 8, 2026
FIFA lepas tangan
FIFA kemudian mengeluarkan kenyataan dan seolah olah terus lepas tangan. Mereka langsung tidak membantu Artan untuk mendapatkan visa khas sepertimana yang dimohon oleh pasukan kebangsaan Iran atau Iraq.
Dalam kenyataannya, FIFA menjelaskan bahawa badan induk bola sepak dunia itu tidak mempunyai kuasa dalam urusan imigresen negara tuan rumah.
“FIFA tidak terlibat dalam proses imigresen negara tuan rumah, termasuk urusan kelulusan visa, dan telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa bahawa status Encik Artan tidak akan diubah buat masa ini.
“Seperti kejohanan FIFA sebelum ini, kerajaan negara tuan rumah mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan siapa yang menerima visa dan siapa yang dibenarkan memasuki negara mereka,” kata FIFA.
Kes Artan menambah senarai kontroversi berkaitan kemasukan individu ke Amerika Syarikat menjelang Piala Dunia 2026. Sebelum ini, seorang pegawai media pasukan kebangsaan Iraq turut dilaporkan ditahan selama beberapa jam sebelum dihantar pulang selepas siasatan oleh pihak berkuasa AS.