Presiden FIFA, Gianni Infantino menyifatkan insiden membabitkan pengadil Piala Dunia dari Somalia, Omar Artan, yang tidak dibenarkan memasuki Amerika Syarikat sebagai satu situasi “malang” dan di luar kawalan organisasi bola sepak dunia itu.

Beliau turut meminta semua pihak menghormati Amerika Syarikat (AS) yang ada dasar mereka tersendiri dalam isu berkaitan visa dan sebagainya.

Artan sebelum ini dilaporkan mempunyai visa yang sah, namun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami sebelum dihantar pulang.

Seorang pegawai Jabatan Negara AS mendakwa beliau mempunyai “hubungan dengan individu disyaki berkaitan organisasi pengganas”, sekali gus menjadikannya tidak layak memasuki negara tersebut.

Dalam sidang media menjelang kejohanan, Infantino menegaskan FIFA tidak mempunyai kuasa penuh terhadap isu-isu berkaitan imigresen dan keselamatan negara tuan rumah.

“Ini juga sesuatu yang malang berlaku kepada Omar, pengadil dari Somalia. Tetapi sekali lagi, kami tidak mengawal segala-galanya,” katanya.

https://twitter.com/RT_com/status/2064790184278073835/video/1

“Kami sentiasa cuba mencari penyelesaian, tetapi kita perlu menghormati bahawa kami bukan raja dunia yang boleh memerintah kerajaan dan pasukan polis. Kami ialah organisasi sukan,” tambah beliau.

Isu tersebut turut dikaitkan dengan keputusan Amerika Syarikat menolak kemasukan beberapa pegawai sokongan pasukan Iran, yang sekali lagi mencetuskan persoalan mengenai kawalan FIFA terhadap kelancaran kejohanan.

Apabila diasak wartawan British sama ada FIFA telah “hilang kawalan” terhadap kejohanan, Infantino membalas dengan perbandingan terhadap situasi masa depan penganjuran di United Kingdom.

“Adakah anda fikir normal jika FIFA menentukan kepada kerajaan Britain siapa yang boleh masuk dan siapa yang tidak boleh masuk ke negara itu? Saya tidak tahu, mungkin anda rasa itu normal?” soal beliau.

Infantino turut meminta media untuk “tenang dan relaks”, sebelum menjelaskan bahawa FIFA tetap berusaha menangani isu berkaitan visa dan kelayakan kemasukan.

“Apabila saya kata tenang, saya tidak bermaksud tidak buat apa-apa. Maksud saya kami sedang bekerja,” jelasnya.

Beliau menutup kenyataan dengan menyifatkan dunia semasa sebagai semakin kompleks dari sudut keselamatan dan peraturan antarabangsa.