Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengambil tindakan tegas terhadap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berhubung isu kekeliruan promosi kadar bayaran di Tempat Letak Kereta Jangka Panjang (LTCP) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Langkah ini diambil susulan aduan rasmi yang dikemukakan oleh seorang pempengaruh media sosial (influencer), Chin Pul Ting, atau lebih dikenali sebagai ‘deadpudds’.
Beliau sebelum ini telah memuat naik sebuah video tular yang mendedahkan caj parkir mengejut berjumlah RM381 bagi tempoh 12 hari, akibat daripada promosi tamat tempoh yang masih aktif diiklankan oleh pihak pengurusan di media sosial.
Menerusi hantaran terbaharu pempengaruh itu, KPDN telah memberi maklum balas yang proaktif bagi menyelesaikan isu yang dihadapi beliau.
“Saya mempunyai berita gembira untuk anda kerana saya telah mengemukakan aduan rasmi kepada KPDN dan ini adalah jawapan daripada mereka.
“Secara jujurnya, keputusan ini membuatkan saya berasa sangat bangga kerana kita telah menyuarakan perkara ini bersama-sama.
“Sebuah GLC gergasi telah ditangkap, diberi amaran oleh pihak kerajaan, dan dipaksa untuk mengubah cara mereka berkomunikasi dengan kita sebagai pengguna,” kata beliau.
Kronologi Penjelasan dan Tindakan KPDN
Menurut surat jawapan rasmi daripada KPDN yang dikongsikan oleh pengadu, siasatan kementerian mendapati kadar harga yang ditawarkan melalui iklan terdahulu adalah bagi tempahan secara dalam talian (online booking) dan tidak terpakai untuk kemasukan secara terus (drive-in).
Walau bagaimanapun, kegagalan pihak MAHB untuk mengemas kini maklumat tersebut dengan jelas pada medium pengiklanan telah mengelirukan pengguna.
Atas dasar itu, KPDN telah mengarahkan MAHB untuk:
1. Menambah baik setiap iklan yang dibuat dengan memasukkan elemen-elemen utama yang jelas seperti terma “Tempahan Secara Atas Talian” atau “Online Booking”.
2. Menyatakan tarikh tamat promosi secara terang dan nyata bagi mengelakkan kekeliruan pada masa hadapan.
Pihak KPDN turut memaklumkan bahawa pengguna yang terkesan adalah layak untuk membuat tuntutan semula (refund) bagi wang lebihan bayaran, sekiranya caj yang dikenakan tidak mengikut harga yang ditetapkan oleh pihak berkaitan.
Pengguna yang ingin membuat tuntutan diminta untuk menyertakan bukti bayaran dan maklumat rekod tempahan berkaitan.
Pengguna Desak Akauntabiliti dan Permohonan Maaf Terbuka
Meskipun tindakan telah diambil oleh pihak kementerian, MAHB dilaporkan masih menafikan dakwaan bahawa mereka menaikkan harga parkir secara “senyap-senyap” apabila didekati oleh pihak media.
Tindakan MAHB yang sekadar memadamkan hantaran lama dan cuba menyelesaikan isu ini secara peribadi dengan pengadu turut menerima kritikan.
Pengadu menegaskan bahawa sebagai sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang besar, MAHB sepatutnya menunjukkan nilai akauntabiliti yang lebih tinggi dengan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada semua pengguna yang terkesan, dan bukannya sekadar menukar maklumat di saat-saat akhir selepas menerima kecaman.
“Namun tidak mengapa, sekurang-kurangnya kita telah berjuang sehingga ke penghujungnya.
“Perkara ini tidak akan mematahkan semangat saya, dan saya berharap ia juga tidak mematahkan semangat anda. Ini kerana sebagai pengguna, kita mempunyai hak.
“Manakala di saat kita memenuhi poket mereka dengan wang, perkara paling asas yang boleh mereka lakukan adalah memenuhi tanggungjawab sebagai penyedia perkhidmatan dan melaksanakannya dengan betul.
“Itulah perkara yang saya yakini.
“Apa-apapun, terima kasih kepada anda semua kerana sentiasa menyokong saya. Saya amat menghargainya,” jelas pempengaruh itu.