Tular suasana di Rembayung, premis perniagaan terbaharu usahawan tersohor, Khairul Aming — dilaporkan agak kecoh dan ‘huru-hara’ tengah hari semalam sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan pelanggan.

Isu tersebut mula tular selepas beberapa pelanggan berkongsi pengalaman mereka di media sosial, menyifatkan situasi di lokasi kejadian bertukar agak tegang berikutan masa menunggu yang lama.

“Sistem Rembayung down, dah macam rusuhan. Semua ni slot pukul 2 ke atas tak dapat masuk. Lain macam,” tulis salah seorang pelanggan yang berada di lokasi.

Sistem POS ‘Down’, Order Terpaksa Tulis Manual

Sedar dengan situasi yang berlaku, Khairul Aming tidak berdiam diri dan terus tampil memohon maaf secara terbuka selain menjelaskan punca sebenar gangguan tersebut.

Menurut usahawan ini, insiden berkenaan berpunca daripada masalah teknikal pada sistem Point of Sale (POS) StoreHub yang mereka gunakan.

Katanya, ini merupakan kali pertama gangguan sekritikal itu berlaku sepanjang enam bulan mereka beroperasi.

“Mohon maaf hari ni huru-hara waktu lunch. Sepanjang 6 bulan berniaga, hari ini pertama kali sistem StoreHub POS di mana semua tempahan tak masuk dalam kitchen,” jelas beliau.

Disebabkan sistem tidak dapat menghantar pesanan terus ke bahagian dapur, kakitangan Rembayung terpaksa mengambil langkah kecemasan dengan mencatat setiap pesanan pelanggan secara manual.

 

View on Threads

 

Slot Jam 2 Petang Rembayung Terkesan, Keadaan Kembali Terkawal

Proses mencatat order satu per satu menggunakan kertas semestinya memakan masa yang agak lama.

Kesannya, waktu hidangan untuk slot tengah hari mengalami kelewatan yang panjang dan mengheret slot seterusnya.

“Kita kena tulis manual satu persatu tempahan menyebabkan makanan slot tengah hari tadi semua delay, dan slot yang jam 2 petang terkesan masuk lambat,” tambah Khairul Aming.

Bagaimanapun, beliau memastikan pihak pengurusan telah mengambil tindakan pantas bagi mengawal keadaan supaya pelanggan yang datang selepas itu tidak menunggu terlalu lama.

“Buat masa ini masih lagi down tapi dah terkawal untuk slot 4.30 petang ke atas,” katanya lagi.

Sikap Khairul Aming yang cepat respons dan telus mengaku kesilapan teknikal ini menerima pujian ramai.