Bagi peminat dunia kulinari tanah air, isu ulat tempahan atau scalper yang memborong slot meja makan sememangnya satu mimpi ngeri.

Fenomena menjual semula meja dengan caj tambahan yang melampau bukan sahaja membebankan poket pelanggan, malah membantutkan niat ramai orang untuk menikmati hidangan bersama keluarga.

Memahami keluhan orang ramai, pempengaruh masakan dan usahawan terkenal, Khairul Aming, kini tampil dengan pembaharuan drastik menerusi restoran miliknya, Rembayung di Kampung Baru.

Langkah ini diambil bagi memastikan setiap pelanggan mendapat peluang yang adil dan telus untuk menikmati sajian di Rembayung tanpa perlu bergantung kepada pihak ketiga.

Kolaborasi Strategik Dengan Grab Demi Pengalaman Pelanggan Yang Telus

Bermula serta-merta, Rembayung telah beralih sepenuhnya kepada platform Grab untuk sebarang urusan tempahan meja. Pendekatan ini diperkenalkan selepas pihak pengurusan mendapati sistem terdahulu dieksploitasi oleh segelintir individu yang tidak bertanggungjawab demi mengaut keuntungan atas angin.

Sebelum ini kita ada banyak isu dengan scalpers dan juga resellers yang menyebabkan ramai pelanggan susah nak buat tempahan untuk Rembayung. Jadi sekarang kita nak selesaikan masalah ini hasil kerjasama dengan pihak Grab, jelas Khairul Aming menerusi pengumuman rasmi beliau.

Kerjasama ini bukan sekadar pertukaran aplikasi semata-mata, sebaliknya hadir dengan sistem keselamatan berlapis yang disepadukan terus ke dalam ekosistem Grab Dine Out.

Peraturan Ketat Anti Scalper Yang Wajib Diketahui

Bagi membanteras aktiviti penjualan semula slot meja, beberapa peraturan ketat telah digariskan:

* Had Tempahan Dua Minggu Sekali: Setiap pengguna Grab yang disahkan (verified user) hanya dibenarkan membuat satu tempahan sahaja bagi setiap dua minggu.

* Tempahan Tidak Boleh Dipindahkan: Segala tempahan bersifat peribadi dan dilarang sama sekali untuk dipindah milik atau dijual kepada individu lain.

* Wajib Bawa Peranti Asal: Pelanggan yang membuat tempahan wajib hadir sendiri ke restoran bersama telefon bimbit yang digunakan semasa proses tempahan dibuat.

* Tangkap Layar Tidak Diterima: Kakitangan restoran akan membuat pengesahan secara langsung di dalam aplikasi Grab pada telefon anda sebelum dibenarkan masuk ke meja. Sebarang tangkap layar (screenshot) atau gambar pengesahan tidak akan dilayan.

* Polisi Deposit dan Pembatalan: Tempahan memerlukan bayaran deposit sebanyak RM10 untuk setiap individu (pax). Jumlah ini akan ditolak daripada bil akhir ketika menjamu selera. Namun, jika tempahan dibatalkan atau pelanggan tidak hadir (no-show), deposit ini tidak akan dikembalikan.

Panduan Langkah Demi Langkah Untuk Membuat Tempahan

Proses membuat tempahan kini jauh lebih teratur dan boleh dilakukan terus melalui telefon pintar anda:

1. Buka aplikasi Grab pada peranti anda dan klik pada ikon Dine Out pada menu utama.

2. Pilih butang Book a Table dan taipkan nama Rembayung di ruangan carian.

3. Klik pada pilihan Rembayung – Kampung Baru untuk memulakan proses pemilihan.

4. Tetapkan bilangan pelanggan (pax). Perlu diingatkan bahawa bayi dan kanak-kanak turut dikira dalam jumlah keseluruhan pax, dengan kapasiti maksimum lapan orang bagi setiap satu tempahan.

5. Pilih tarikh yang diinginkan. Restoran Rembayung beroperasi setiap hari kecuali pada hari Jumaat.

6. Tentukan pilihan sama ada Dine In (makan di restoran) atau Take Away (bungkus).

Bagi sesi Dine In, terdapat empat pusingan waktu yang ditawarkan iaitu slot makan tengah hari bermula jam 11:00 pagi hingga 12:00 tengah hari, sesi kedua jam 2:00 petang hingga 2:30 petang, sesi petang jam 4:30 petang hingga 5:30 petang, dan sesi makan malam pada jam 8:00 malam hingga 9:00 malam.

Bagi pilihan bawa pulang, slot masa disediakan pada waktu tengah hari dan petang.

7. Semak perincian tempahan anda. Sekiranya anda membawa warga emas yang bertongkat, bayi berkerusi tolak (stroller), atau individu berkerusi roda yang menyukarkan pergerakan menaiki tangga ke aras atas, anda boleh mengisi bahagian Special Requests agar pihak restoran dapat mengatur bantuan meja yang bersesuaian.

8. Lakukan bayaran deposit. Pelbagai kaedah pembayaran disediakan termasuk kad debit atau kredit, perbankan dalam talian (FPX), GrabPay, mahupun Apple Pay.

9. Selepas pembayaran selesai, pengesahan rasmi akan terus dipaparkan di skrin aplikasi.

Info Buat Pelanggan Terdahulu Dan Pelawat Luar Negara

Bagi pelanggan yang sudah pun berjaya membuat tempahan melalui sistem terdahulu (Umai) untuk tarikh-tarikh terdekat, anda tidak perlu cemas.

Anda boleh hadir ke restoran seperti biasa mengikut jadual yang telah ditetapkan kerana pengesahan baharu melalui aplikasi Grab hanya terpakai kepada tempahan bermula sistem ini dilancarkan.

Manakala bagi peminat masakan Khairul Aming dari luar negara seperti Singapura, Brunei, mahupun Indonesia yang merancang untuk berkunjung ke Kuala Lumpur, tempahan masih boleh dibuat dengan mudah. Anda hanya perlu menukar tetapan lokasi di dalam aplikasi Grab kepada negara Malaysia sebelum memilih restoran Rembayung.

Khairul Aming turut mengakui cabaran mengekang aktiviti pihak ketiga yang sering mencari celah kelemahan.

KA akui memang tak mudah untuk kita lawan scalpers ni sebenarnya, macam-macam kaedah yang mereka akan guna untuk ambil kesempatan ke atas orang lain.

Jadi diharapkan dengan kewujudan sistem baharu ini, kita dapat kurangkan aktiviti penjualan semula dan proses tempahan menjadi lebih lancar, telus serta selamat untuk semua, tambah beliau.

Orang ramai yang ingin membuat tempahan kini boleh terus melayari aplikasi Grab atau menekan pautan rasmi yang disediakan pada profil media sosial @rembayungmy.

Boleh tonton video penuh di bawah:-