Polis Sepanyol membuka siasatan berhubung kematian penyerang CD Tenerife, Jesús de Miguel, selepas pemain berusia 30 tahun itu mengalami pertembungan dengan penjaga gol FC Andorra, Jesús Owono, ketika aksi LaLiga 2 pada Isnin lalu.

Siasatan tersebut dibuka bagi meneliti kemungkinan berlakunya kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat (involuntary manslaughter).

Insiden berlaku ketika perlawanan memasuki masa kecederaan di Stadium Heliodoro Rodríguez López, apabila Owono keluar jauh meninggalkan kawasan penalti untuk merebut bola di bahagian tengah padang.

Bagaimanapun, cabarannya menyebabkan De Miguel mengalami hentaman kuat pada bahagian dada sebelum rebah di atas padang.

Owono dilayangkan kad merah terus oleh pengadil, manakala pasukan perubatan segera memberikan bantuan kecemasan kepada De Miguel sebelum pemain itu dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans.

De Miguel dilaporkan mengalami serangan jantung dan dimasukkan ke unit rawatan rapi. Namun, keadaannya semakin merosot sebelum pihak Tenerife mengesahkan kematiannya pada Selasa, 3 November 2026.

Menurut Ketua Pendakwa Raya Santa Cruz de Tenerife, José Luis Sánchez-Jáuregui, kemungkinan Owono berdepan tindakan jenayah adalah sangat rendah.

Beliau menjelaskan bahawa kecederaan yang berlaku dalam pertandingan sukan lazimnya tidak membawa kepada liabiliti jenayah.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan akan menunggu laporan pengadil dan hasil siasatan Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF) sebelum membuat sebarang keputusan.

Sementara itu, pihak berkuasa menjelaskan bahawa siasatan kehakiman merupakan prosedur standard bagi kematian yang berlaku akibat faktor bukan semula jadi di Sepanyol.

Pembukaan siasatan itu tidak bermaksud terdapat bukti jenayah atau mana-mana individu sudah dipertanggungjawabkan atas kematian tersebut.

Kematian De Miguel mengundang kesedihan dalam dunia bola sepak Sepanyol apabila beberapa kelab dan pemain terkenal menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga serta seluruh warga Tenerife.