Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan rentak cemerlang selepas berjaya melangkah ke pentas final Kejohanan Badminton Asia 2025 yang berlangsung di Ningbo, China.

Lebih manis kemenangan pasangan kedua negara itu sebentar tadi hadir selepas mereka mengenepikan cabaran bintang tuan rumah yang merupakan juara bertahan, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam aksi ‘straight set’.

Ia juga merupakan kemenangan ketiga dicatatkan bekas juara dunia itu ke atas Wei Keng-Wang Chang dalam 11 pertemuan sesama mereka.

Berdepan lawan yang mendapat sorakan padu penyokong tuan rumah, Aaron dan Wooi Yik menyerap tekanan dengan baik untuk menyajikan corak permainan lebih meyakinkan.

Aksi pada mulanya berlangsung dengan kedua-dua pasangan saling kejar-mengejar mata yang menyaksikan Aaron-Wooi Yik mendahului 11-9.

Namun selepas itu Wei Keng-Wang Chang melakukan beberapa kesilapan mudah berikutan serangan hebat dijelmakan Aaron-Wooi Yik.

Keadaan itu memberikan ruang buat Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk memenangi set pertama dengan jurang mata 21-12.

Kemenangan pada set pertama itu jelas meningkatkan moral anak buah Herry Iman Pierngadi tersebut untuk meneruskan rentak cemerlang.

Mendahului 11-7 pada ‘interval’, mereka tidak menoleh ke belakang untuk memastikan slot final menjadi milik Malaysia hasil kemenangan 21-14.

Menanti Aaron-Wooi Yik pada aksi final esok ialah pemenang antara Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana yang akan beraksi menentang satu lagi wakil tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi sebentar nanti.

Ini merupakan kali keempat berturut-turut sektor beregu lelaki negara berjaya melangkah ke final Kejohanan Badminton Asia dimana sebelum ini Aaron-Wooi Yik beraksi pada 2022, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (2023) dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada tahun lalu.

Mereka bagaimanapun tewas kepada lawan masing-masing untuk bergelar naib juara.