Pasangan beregu kedua negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik beraksi cemerlang untuk meneruskan kemaraan ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025.
Lebih menarik, Aaron dan Wooi Yik berjaya menundukkan lawan yang merupakan pilihan ketiga kejohanan iaitu Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia dalam aksi ‘straight set’.
Baca Juga:
- Senarai Wakil Malaysia Mara Ke Suku Akhir Kejohanan Badminton Asia 2025
- Ini Jumlah Wang Bakal Diraih Pemain Dalam Kejohanan Badminton Asia 2025
- Senarai Pemain Malaysia Yang Sertai Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025
Mendapat sentuhan Herry Iman Pierngadi yang tujuh tahun membimbing lawan mereka, Aaron-Wooi Yik dilihat mendapat tonik berguna pada perlawanan ini.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya buat pasangan ranking keenam dunia tersebut untuk menang set pertama 21-16.
Kemenangan itu nyata menyemarakkan lagi api perjuangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk terus cemerlang apabila tampil dengan lebih baik sekali gus mencatatkan kemenangan mudah 21-11.
Kejayaan dalam tempoh 30 minit itu merupakan kemenangan ketujuh dicatatkan pasangan negara tersebut ke atas Fajar Alfian-Rian Ardianto yang sudah bertemu sebanyak 11 kali.
Dengan kemenangan tersebut, Aaron-Wooi Yik akan menempah pertemuan menentang juara bertahan yang merupakan bintang tuan rumah, Liang Weng Keng-Wang Chang pada separuh akhir, esok.
Pasangan ranking ketiga dunia itu menewaskan satu lagi gandingan dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin dengan kemenangan 21-19, 21-19.
Cabaran negara selepas ini digalas Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang akan turun berdepan wakil tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi kira-kira jam 9.45 malam nanti.
Edisi lalu yang turut diadakan di Ningbo, China menyaksikan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin berjaya melangkah ke perlawanan akhir tetapi mereka dikecewakan oleh Liang Wei Keng-Wang Chang.