Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadikan pasangan ranking nombor satu dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen sebagai mangsa untuk mara ke final Kejohanan Malaysia Masters 2025.
Kemenangan manis dilakarkan di Axiata Arena, Bukit Jalil itu sekali gus memastikan aksi final esok bakal menemukan dua wakil Malaysia.
Baca Juga:
- Tampil Cemerlang, Aaron Chia-Soh Wooi Yik Juarai Kejohanan Badminton Asia 2025
- Aaron-Wooi Yik Pastikan 3 Wakil Negara Di Separuh Akhir Malaysia Masters 2025
- Herry Iman Jadi Buah Mulut Peminat Indonesia Selepas Aaron-Wooi Yik Muncul Juara BAC 2025
Ia berikutan kejayaan Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang terlebih dahulu mengesahkan mereka kemaraan ke final.
Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun Bakal Tamatkan Penantian Panjang
Keadaan yang bakal menamatkan penantian panjang kem negara kerana kali terakhir Malaysia memenangi gelaran dalam acara beregu lelaki adalah pada 2013 menerusi Goh V Shem-Lim Khim Wah.
Kemenangan yang dikecapi itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah terutamanya pada dua set awal berbekalkan status hebat dimiliki lawan dari Denmark tersebut.
Keyakinan tinggi jelas terpancar pada aksi Aaron dan Wooi Yik yang menyerap tekanan dengan baik untuk mengejar lawan walaupun ditinggalkan sejak awal permainan.
Mengikat lawan ketika kedudukan 13-13, Aaron-Wooi Yik tidak melakukan banyak kesilapan untuk memenangi set pertama dengan mata 21-19.
Astrup-Rasmussen bagaimanapun bangkit pada set kedua dengan mendahului jauh 11-4 pada waktu rehat ‘interval’.
Walaupun Aaron-Wooi Yik cuba untuk bangkit, tetapi ia masih belum cukup buat mereka bagi menghalang kemenangan Astrup-Rasmussen pada set kedua dengan mata 21-17.
Bagaikan mendapat tonik daripada Herry Iman pada waktu rehat, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan set ketiga dengan cukup garang apabila mendahului 11-3.
Kelebihan besar itu tidak disia-siakan Aaron-Wooi Yik untuk membawa mereka ke pentas final hasil kemenangan 21-15 walaupun Astrup-Rasmussen cuba bangkit melawan dengan hebat.