Cabaran skuad badminton negara dalam Final Jelajah Dunia (World Tour Finals) 2023 bakal digalas oleh pasangan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan gandingan beregu campuran semakin meningkat naik, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Kejohanan penutup siri Jelajah Dunia yang berlangsung di Hangzhou, China itu menawarkan hadiah lumayan bernilai $210,000 (RM982,275.00) bagi juara kategori beregu.
Baca Juga:
- Saranan Mendiang Bapa Rintis Karier Gemilang Rexy Mainaky Takluk Dunia Badminton
- Lee Chong Wei Pemain Badminton Paling Kaya, Miliki Kekayaan Bernilai RM330 Juta?
- Hadir Ke Sukan Asia Di China, Penonton Badminton Bersorak Lihat Lee Chong Wei
Manakala naib juara akan menerima $100,000 (RM467,750.00) dan dua pasangan yang terkandas di separuh akhir akan memenangi $50,000 (RM233,875.00).
Dengan pertandingan dimulakan dengan format peringkat kumpulan pada pusingan awal, pasangan yang gagal mara ke separuh akhir turut akan membawa pulang $32,500 (RM152,018.75) bagi kedudukan ketiga kumpulan manakala keempat menerima $17,500 (RM81,856.25).
Dalam undian yang diadakan malam tadi, Aaron dan Wooi Yik berada dalam kumpulan A bersama-sama dua pasangan China iaitu Liang Wei Keng-Wang Chang dan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.
Manakala satu lagi slot dalam kumpulan tersebut diisi bekas juara dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.
Berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini, Aaron-Wooi Yik hanya menang satu daripada enam pertemuan bertemu dengan Wei Keng-Wang Chang.
Kemudiannya mereka menang dua aksi daripada lima pertembungan menentang Yu Chen-Xuan Yi serta sekadar memenangi dua aksi dalam lapan pertemuan dengan Hoki-Kobayashi.
Ia memberikan gambaran jelas bahawa tugas sukar bakal dihadapi sandaran utama negara itu.
Manakala, Tang Jie-Ee Wei pula akan berhadapan dengan Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping (rekod 1-0 pertemuan), Yuta Watanabe-Arisa Higashino (tewas 0-2) dari Jepun dan pasangan Thailand, Dechapol Puavanukroh-Sapsiree Taerattanachai (rekod 1-2).
Perlawanan pertama peringkat kumpulan saingan World Tour Finals 2023 akan bermula esok.