Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi wakil tunggal negara yang melayakkan diri ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2025.
Berdepan rakan senegara yang menumpaskan mereka pada aksi final Malaysia Masters tempoh hari, Aaron dan Wooi Yik jelas tidak mahu pisang berbuah dua kali.
Baca Juga:
- Terbuka Singapura 2025: Senarai Wakil Malaysia Mara Ke Suku Akhir
- Terbuka Singapura 2025: Ini Jumlah Wang Bakal Diraih Pemain
- Senarai Pemain Malaysia Sertai Terbuka Singapura 2025
Mereka yang kini berada di ranking ketiga dunia mengurangkan kesilapan untuk mengenepikan cabaran hebat diberikan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Menang 22-20 pada set pertama, Aaron-Wooi Yik tidak menoleh ke belakang lagi untuk memastikan slot ke separuh akhir menjadi milik mereka dengan kemenangan 21-17.
Lawan Bakal Dihadapi Aaron-Wooi Yik
Dengan kemenangan tersebut, bekas pasangan nombor satu dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty bakal menanti Aaron-Wooi Yik di separuh akhir, esok.
Manakala malang menimpa lima lagi wakil negara apabila gagal meneruskan rentak cemerlang mereka.

Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai tidak mampu mengambil kesempatan menang set pertama apabila tewas 21-19, 20-22, 17-21 di tangan pasangan Thailand, Dechapol Puavarankroh-Supissara Paewsampran.
Nasib sama turut dirasai Pearly Tan-M. Thinaah yang hampir memenangi perlawanan tetapi akhirnya kecundang 21-14, 22-24,14-21 kepada Jia Yi Fan-Zhang Zhu Xian .
Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pula terpaksa akur tewas 17-21, 15-21 ditangan Satwiksairaj-Shetty manakala Leong Jun Hao pula tunduk kepada Kunlavut Vitidsarn juga menerusi aksi ‘straight set’ 13-21, 11-21.