Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi, menjelaskan bahawa dia tidak pernah menuntut nafkah daripada bekas suaminya, Norman Hakim, ketika anak-anak mereka masih kecil kerana memahami keadaan kewangan Norman pada waktu itu.

Penjelasan itu dibuat menerusi satu perkongsian di Threads selepas seorang pengguna media sosial berpendapat tindakan Abby adalah tepat kerana tuntutan nafkah ketika bekas pasangan masih tidak berkemampuan mungkin hanya memberikan jumlah yang kecil walaupun selepas melalui proses mahkamah.

Mengulas pandangan tersebut, Abby berkata dia sememangnya memilih untuk tidak menuntut nafkah kerana mengetahui bekas suaminya ketika itu berada dalam keadaan kewangan yang sukar.

“Bagi kes saya, memang tak pernah terfikir nak minta langsung nafkah sewaktu anak-anak saya masih kecil. Sebab saya tahu, bekas suami saya tak mampu.”

Menurut Abby lagi, keadaan kini sudah berubah apabila Norman didakwanya telah mencapai tahap kewangan yang jauh lebih baik berbanding dahulu.

“Dulu memang dia tak berapa ada pun, tapi sekarang dah ada dan dah jadi jutawan. Apa salahnya bagi semula hak saya.”

Abby turut menegaskan bahawa tuntutan yang dibuat ketika ini adalah berhubung hak yang sepatutnya diterima, bukannya disebabkan faktor lain.

Dalam masa sama, pelakon berusia 48 tahun itu meluahkan rasa hairan terhadap segelintir netizen yang mengecam tindakannya menuntut hak tersebut walaupun mereka tidak mempunyai kaitan dengan isu berkenaan.

“Yang lain tak ada kena mengena, nak merentan dan marah-marah saya dah kenapa? Pelik-pelik saja perempuan zaman sekarang.”

"Dulu Dia Tak Mampu, Sekarang Dah Jutawan" - Abby Abadi Jelaskan Sebab Baru Tuntut Nafkah Anak Daripada Norman Hakim

Perkongsian Abby itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial. Ada yang menyifatkan tindakannya sebagai bukti dia memahami kesusahan bekas suami suatu ketika dahulu, manakala ada juga yang berpandangan setiap anak berhak menerima nafkah mengikut kemampuan bapa pada waktu berkenaan.