Selangor menamatkan kempen Asian Champions League (ACL) 2 2024/25 dengan kemenangan selepas menundukkan Dynamic Herb Cebu 4-0 pada aksi yang berlangsung di Rizal Memorial Stadium, sebentar tadi.

Kemenangan itu bagaimanapun masih belum mampu untuk membawa Selangor ke pusingan 16 kerana Muang Thong United berjaya menundukkan Jeonbuk Hyundai Motors 1-0.

Baca Juga:

Satu keadaan yang membolehkan Muang Thong mengiringi wakil Korea Selatan itu selaku naib juara.

Sedar hanya kemenangan perlu diraih, Selangor mempamerkan aksi tersusun bagi mendominasi sebahagian besar permainan.

Anak buah Katsuhito Kinoshi itu mendapat beberapa peluang terbaik tetapi percubaan Yohandry Orozco pada minit ke-18 dan Nooa Laine berselang sepuluh minit kemudian mudah diselamatkan penjaga gol, Florencio Badelic.

Tandukan ketua pasukan, Safuwan Baharuddin ketika aksi memasuki minit ke-35 pula sekadar singgah di pintu gol.

Kekecewaan itu ditebus pada minit ke-44 apabila Orozco menanduk masuk bola hasil hantaran lintang Alvin Fortes untuk meletakkan Selangor dihadapan.

Separuh masa kedua memperlihatkan penguasaan diteruskan Selangor yang menambah tiga lagi jaringan menerusi Orozco pada ke-48, Nooa Laine (minit ke-57) dan Alvin Fortes (minit ke-79).

Kemenangan besar itu direncatkan dengan kejayaan Muang Thong United untuk menyingkirkan Selangor daripada persaingan ke pusingan kalah mati saingan ACL 2 2024/25.