Dua jaringan awal pada babak pertama sudah cukup untuk memastikan kemenangan penting 2-1 dilakarkan Selangor ke atas Jeonbuk Hyundai Motors pada aksi ketiga Kumpulan H Asian Champions League Two (ACL 2) 2024/25 yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya sebentar tadi.
Kejutan itu turut mencalarkan rekod tanpa kalah wakil Korea Selatan tersebut yang sebelum ini menang pada dua perlawanan awal bertemu Dynamic Herb Cebu FC dan Muangthong United.
Baca Juga:
- ACL 2 2024/25: Selangor Menang Tipis Ke Atas Cebu FC
- ACL 2 2024/25: Muangthong United, Selangor Terikat 1-1 Di Bangkok
- Kisah Aspirasi Sayaka Hirota, Enggan Lakukan Pembedahan ACL Demi Paris 2024
Walaupun Jeonbuk memegang penguasaan bola, itu bagaimanapun tidak langsung menggentarkan anak-anak buah Nidzam Jamil yang turun tanpa beberapa tonggak utama untuk memberikan saingan.
Ia dapat disaksikan dengan percubaan dijelmakan Selangor pada awal permainan terutamanya menerusi tandukan ketua pasukan, Harith Haiqal Adam Afkar (minit ke-13) serta percubaan Ahmad Zikri Mohd Khalili berselang dua minit kemudian dan rembatan Ali Olwan pada minit ke-27.
Selain serangan yang dijelmakan, barisan pertahanan Selangor juga pada mulanya kelihatan begitu kompak untuk memberikan kesukaran kepada jentera tengah lawan mencipta peluang.
Kem Selangor melonjak kegembiraan pada minit ke-31 apabila Harith Haiqal yang tidak dikawal pertahanan Jeonbuk menolak masuk bola ketika situasi sepakan penjuru sekali gus memisahkan kedua-dua pasukan.
Gol itu nyata menyemarakkan lagi semangat juang pemain Selangor yang hanya memerlukan dua minit untuk menambah jaringan kedua menerusi Ali Olwan.
Berpunca daripada hantaran lolos Nooa Laine ke dalam kawasan penalti, pemain import kelahiran Amman, Jordan itu melakukan percubaan yang membias terkena Jeong Uh-jae lalu membolosi gawang Jeonbuk.
Tersentak dengan dua gol pantas tersebut, Joenbuk Hyundai Motors memperkemaskan aksi dalam mencipta peluang ke arah pintu gol Selangor.
Percubaan tepat pertama pasukan pelawat itu hadir pada minit ke-39 apabila Park Jae-yong melakukan rembatan padu tetapi penjaga gol, Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin cemerlang menggagalkan percubaan tersebut.
Kehampaan itu ditebus seminit kemudian selepas Kwon Chang-Hoon menanduk masuk bola hasil hantaran lintang yang cukup baik diberikan Uh-jae bagi Jeonbuk merapatkan defisit jaringan.
Aksi tidak kurang menariknya di babak kedua yang menyaksikan Selangor mendapat dua peluang terbaik untuk menambah jaringan.
Namun, percubaan separa voli kaki kiri diledakkan Nikola Jambor pada minit ke-50 sekadar singgah di palang gol manakala tandukan Ronnie Fernandez setelah menerima umpanan lintang Ali Olwan (minit ke-68) ditepis keluar penjaga gol, Kim Jung-hoon.
Kedua-dua pasukan selepas itu meneruskan tekanan dalam usaha mengubah kedudukan, tetapi serangan dicipta tidak mampu untuk menghasilkan jaringan sekali gus mengesahkan kemenangan bermakna buat Selangor terutamanya sepakan jarak jauh Han Seok-jin yang singgah di tiang gol pada masa kecederaan.
Dengan kemenangan tersebut, Selangor melonjak ke tangga teratas dengan tujuh mata, satu mata meninggalkan Jeonbuk di kedudukan kedua.