Satu lagi aksi wakil Arab Saudi bertemu Jepun dapat disaksikan apabila Al-Nassr dan Gamba Osaka bakal beraksi di pentas final AFC Champions League (ACL) 2 2025/26.
Al-Nassr yang dibarisi pemain ternama dunia seperti Cristiano Ronaldo, Joao Felix, Sadio Mane, Kingsley Coman, Inigo Martinez dan Marcelo Brozovic tidak berdepan masalah untuk meneruskan kemaraan.
Di separuh akhir, skuad kendalian Jorge Jesus itu tampil cukup garang menewaskan wakil Qatar, Al Ahli Doha 5-1 di Zabeel Stadium, Dubai.

Al-Nassr tersentak pada minit ke-10 apabila Sekou Yansane berjaya membuka tirai jaringan buat Al Ahli.
Gol tersebut bagaimanapun tidak langsung merentap semangat juang pemain Al-Nassr yang pantas bangkit mendapatkan jaringan penyamaan.
Kingsley Coman menyamakan kedudukan berselang dua minit kemudian dan seterusnya meledakkan hatrik hasil jaringan minit ke-45+8 dan 63.
Manakala, Angelo Gabriel dan Abdullah Al-Hamdan masing-masing menambah satu gol.
Gamba Osaka Jadi Lawan Al-Nassr Di Final ACL 2 2025/26
Sementara itu dalam aksi separuh akhir ACL 2yang berlangsung pada 8 dan 15 April, Gamba Osaka bangkit daripada kekalahan aksi pertama di Bangkok untuk menang 3-1 menerusi agregat ke atas Bangkok United.
Tidak seperti final ACL Elite yang akan berlangsung pada Ahad nanti, aksi final ACL 2 pula bakal diadakan 17 Mei nanti di Alawwal Park, Riyadh Arab Saudi.