Pasukan Selangor bakal menurunkan barisan terkuat apabila menghadapi Muangthong United dalam saingan kumpulan H AFC Champions League (ACL) 2 di Stadium Rajamangala pada Khamis ini.

Ketua jurulatih pasukan, Nidzam Jamil menegaskan kesemua pemain terutamanya semua pemain importnya sudah bersedia untuk diturunkan dalam aksi pertama bagi saingan edisi kali ini.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

“Kita dibenarkan bermain dengan kuota pemain import yang bukan seperti Liga Malaysia (Liga M) dan cabarannya ialah macam mana kita nak letakkan pemain dan siapa yang harus dimainkan pada perlawanan dengan Muangthong nanti,” katanya.

Tambah Nidzam, beliau mahu anak buahnya menampilkan persembahan terbaik meskipun aksi di peringkat Asia adalah satu pengalaman baharu untuk beberapa pemain dalam pasukan itu.

“Ini adalah pengalaman pertama kita selepas tujuh ke lapan tahun tidak beraksi di pentas Asia. Sudah tentu kemenangan (ke atas Kuching City) membangkitkan motivasi pemain, tetapi pentas sangat berbeza.

“Mereka (pasukan yang beraksi di ACL 2) semua pasukan-pasukan elit di Asia dan kita kena harus tingkatkan banyak perkara untuk kita bersaing di pentas itu,” tambahnya.

Gandingan Safuwan Baharudin (Singapura) dan Umar Eshmurodov (Uzbekistan) menjadi pilihan untuk mengisi posisi pertahanan tengah sambil dibantu oleh Noor Al-Rawabdeh (Jordan), Nooa Laine dan Yohandry Orozco (Venezuela) di bahagian tengah.

Di bahagian serangan, trio Alvin Fortes (Cape Verde), Ronnie Fernandez (Chile) dan pemain import baharu iaitu Ali Olwan (Jordan) dilihat bakal diturunkan dalam kesebelasan utama bagi merobek gawang lawan.

Kali terakhir Selangor beraksi di pentas Asia ialah ketika musim 2016 dimana mereka beraksi dalam saingan Piala AFC namun terkandas di peringkat Kumpulan E selepas hanya menamatkan saingan di tempat ketiga daripada empat pasukan.