Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata tidak jadi kenyataan apabila tewas 0-5 kepada jaguh Jepun, Kawasaki Frontale pada aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Todokori, hari ini.

Keputusan tersebut menyaksikan peluang JDT untuk mara ke pusingan kalah mati semakin tipis selepas pencabar terdekat, Ulsan Hyundai turut mengutip 3 mata apabila menewaskan BG Pathum United 3-1.

Baca Juga:

Gol pertama Kawasaki Frontale bermula seawal minit ke 8 selepas Akihiro Ienaga menyudahkan hantaran leret yang berpunca daripada gerakan menarik di sebelah kanan.

JDT nyaris memperolehi gol pertama pada minit ke 13 namun percubaan Oscar Arribas berjaya ditepis oleh penjaga gol tuan rumah.

Kawasaki Frontale menguasai perlawanan dengan corak hantaran pendek dan langsung tidak memberi peluang kepada JDT untuk merampas bola tersebut. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, tuan rumah bermula dengan garang namun penjaga gol JDT, Syihan Hazmi berjaya menepis beberapa percubaan berbahaya daripada jentera serangan Kawasaki Frontale.

Pada minit ke 49, Stadium Todokori kembali bergema dengan sorakan ribuan penyokong apabila pemain import Brazil, Leandro Damiao merembat masuk hantaran cantik daripada Akihiro Ienaga untuk gol kedua Kawasaki Frontale.

JDT cuba bangkit mencari jaringan pertama namun mereka masih sukar untuk menembusi benteng pertahanan Kawasaki Frontale yang beraksi dengan cukup berdisiplin.

Belum sempat JDT bertenang, pintu gol mereka bocor sekali lagi menerusi tandukan deras Marcinho pada minit ke 60 yang gagal dihalang oleh Matthew Davies.

8 minit kemudian, Kawasaki Frontale menambah gol keempat dan kali ini menerusi rembatan voli Yu Kobayashi dalam situasi kelam kabut di kawasan kotak penalti.

Ketika perlawanan seolah-olah akan berakhir dengan keputusan 4-0, Miki Yamane menambah derita JDT dengan rembatan cantik dari luar kotak penalti untuk gol kelima Kawasaki Frontale.

Keputusan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan Kawasaki Frontale dinobatkan sebagai juara kumpulan selepas mengutip 15 mata maksimum dengan rekod tanpa kalah setakat ini.

Nasib JDT sama ada layak ke pusingan kalah mati akan diketahui pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang BG Pathum pada 12 Disember nanti.

Jika JDT menang, Ulsan Hyundai tewas, jumlah mata kedua-dua pasukan ini terikat 9 mata tetapi kemaraan mereka akan ditentukan menerusi perbezaan jaringan.

Ia tugas yang sukar untuk skuad Harimau Selatan kerana Ulsan Hyundai memiliki kelebihan dari segi jaringan.