Johor Darul Ta’zim (JDT) vs BG Pathum United, 12. 12. 2023 – jam 6.00 petang (Waktu Malaysia)

Pengendali BG Pathum United, Surachai Jaturapattarapong puji keindahan Stadium Sultan Ibrahim yang bakal menjadi lokasi perlawanan terakhir saingan kumpulan I menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) petang ini.

Baca Juga:

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada JDT kerana memenangi piala domestik (Piala Malaysia). Saya berasa kagum melihat stadium JDT begitu cantik dan moden,” katanya dalam sidang media.

Kapten BG Pathum United, Sarach Yooyen turut memuji keadaan padang di Stadium Sultan Ibrahim yang disifatkannya sangat berkualiti untuk perlawanan di peringkat Asia.

“Kami akan beraksi dalam suasana luar biasa dan padang yang bagus. Semua pemain tidak sabar turun beraksi dan tunjukkan kualiti sebenar kami.

“Seperti yang dikatakan, tiga mata sentiasa menjadi sasaran utama. Tidak kira apa jua keadaan yang dihadapi, perkara paling penting ialah bermain bersungguh-sungguh dan sentiasa berusaha dapatkan kemenangan,” jelas Sarach Yooyen.

Walaupun ia sekadar pelengkap jadual, BG Pathum United tetap mahu memberi yang terbaik dan tekad bawa pulang tiga mata setelah gagal mengutip sebarang mata dalam kesemua perlawanan sebelum ini.

“Kami baru sahaja menewaskan Ratchaburi FC dalam perlawanan Liga Thailand beberapa hari lepas. Kemenangan sentiasa membantu mengekalkan momentum bagus.

“Saya harap ia dapat membantu mengekalkan rentak permainan kami. Kami menewaskan Ratchaburi sebelum menentang JDT dan rentak permainan itu akan diteruskan dalam perlawanan ini,” tambah Surachai.