Teknologi Video Bantuan Pengadlil (VAR) memberi kesan kepada kebangkitan pasukan JDT ketika menewaskan BG Pathum United 4-1 pada aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.

Pengadil perlawanan dari China, Ma Ning memberikan sepakan penalti kepada JDT selepas meneliti rakaman video di monitor khas yang disediakan di tepi padang.

Ketika itu JDT ketinggalan 0-1 dan Bergson Da Silva menyempurnakan sepakan penalti untuk gol penyamaan pada minit ke 55.

“Memang terkejut ketika diberikan penalti kerana saya menanduk bola hasil sepakan sudut Heberty (Fernandes) dalam keadaan menutup mata jadi saya tidak nampak sama ada pemain lawan ada menyentuh bola menggunakan tangan atau tidak. Semuanya berlaku dengan pantas.

“Tetapi sistem VAR menunjuk dengan jelas bahawa pemain BG Pathum menghalang bola dengan menggunakan tangan dan kami gembira dengan keputusan pengadil perlawanan dan ia memberi impak positif,” kata Bergson kepada Harian Metro selepas tamat perlawanan.

Lihat video rakaman detik-detik penggunaan VAR di Stadium Sultan Ibrahim yang dikongsikan oleh peminat JDT, Farhan Roslan menerusi laman X.

BG Pathum United turut mengakui VAR memainkan peranan besar dalam kekalahan pasukan tersebut. Mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Danilo Alves dilayangkan kad kuning kedua akibat bola terkena tangannya dalam kotak penalti.

Peluang itu dimanfaatkan oleh JDT yang menambah tiga lagi gol menerusi Bergson dan Endrick Dos Santos sebelum Arif Aiman Hanapi melengkapkan perlawanan dengan gol keempat pada minit akhir saingan.