Teknologi video bantuan pengadil (VAR) dijangka akan beroperasi di setiap venue perlawanan Liga Super mulai musim depan untuk meningkatkan mutu pengadilan.

Menurut laporan Harian Metro, 4 set sistem VAR sudah tiba di tanah air dan kini berada di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tujuan latihan pengadil sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Baca Juga:

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan set VAR tersebut masih belum lengkap dan mereka akan menggunakan kaedah trak bergerak bagi membolehkan VAR beroperasi di setiap venue perlawanan.

“Empat set VAR dah sampai ke Malaysia, tapi VAR set itu bukan bermakna semua kelengkapan. Kelengkapan diperlukan di belakang tabir adalah macam ‘server’ dan skrin sentuh semua dah sampai.

“Sebagaimana kita laporkan sebelum ini, VAR akan dilaksanakan di peringkat mobile dalam trak. Trak VAR itu kita dalam proses membeli atau mendapat penajaan trak tersebut, dan ia akan melengkapkan kesemua kelengakapan,” katanya.

FOTO: FAM

VAR adalah sistem video yang membolehkan pengadil melihat semula insiden yang kurang jelas di atas padang dalam memastikan keputusan yang diambil adalah tepat.

FAM kini dalam proses untuk mendapatkan kelulusan FIFA pada Februari tahun depan sebelum ia boleh dilaksanakan dalam saingan Liga Malaysia yang dijangka bermula pada bulan April nanti.

Seramai 40 pengadil Malaysia bersama 14 ‘replay operator’ telah pun menjalani latihan fasa kedua pengendalian VAR pada 26 Ogos hingga 11 September 2023 sebagai langkah persiapan awal.

Terdahulu, latihan fasa pertama VAR ini telah dijalankan pada 15 dan 16 Julai yang lalu secara dalam talian.

Langkah yang diambil ini adalah sebahagian daripada inisiatif Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin yang mahu arena bola sepak negara berjalan seiring dengan perkembangan yang berlaku di peringkat antarabangsa terutama sekali di peringkat FIFA.