Berakhirnya aksi kedua pusingan 16 AFC Champions League Elite (ACL Elite) 2025/26 menyaksikan kuota empat pasukan dari zon timur untuk ke suku akhir sudah diisi.

Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar sejarah baharu buat kelab tersebut apabila turut berjaya melangkah saingan lapan terbaik di Asia itu dengan menewaskan Sanfrecce Hiroshima menerusi agregat 3-2.

JDT mengiringi Buriram United selaku wakil dari benua Asia Tenggara (ASEAN) selepas kelab gergasi Thailand itu mengenepikan cabaran wakil Australia, Melbourne City.

Terikat 1-1 pada aksi pertama, Buriram kental bertahan di laman sendiri meskipun terpaksa beraksi 10 pemain sejak minit ke-21 ekoran kad merah diterima Robert Zulj.

Neil Etheridge yang tangkas sepanjang 120 minit permainan meneruskan rentak cemerlang itu dengan menyelamatkan dua sepakan penalti lawan.

Penjaga gol yang pernah beraksi dalam saingan English Premier League (EPL) itu menafikan sepakan Ryan Teague dan Aziz Behich untuk memastikan kemenangan 4-2 Buriram menerusi sepakan penalti.

Dua lagi slot diisi wakil Jepun iaitu Machida Zelvia dan Vissel Kobe. Hotaka Nakamura muncul wira Machida hasil jaringan tunggalnya pada minit ke-25 untuk menang dengan agregat 1-0 le atas Gangwon FC dari Korea Selatan.

Vissel Kobe yang berkelebihan satu gol pada aksi pertama tidak menghampakan penyokong sendiri untuk menang 2-1 sekali gus mara ke suku akhir dengan agregat 3-1 ketika berhadapan dengan FC Seoul.

Empat pasukan tersebut bagaimanapun perlu menanti sedikit masa lagi kerana aksi pusingan 16 ACL Elite 2025/26 bagi zon barat masih tidak dapat dilangsungkan susulan ketegangan yang berlaku di Timur Tengah pada ketika ini.

Wakil Zon Timur Di Suku Akhir ACL Elite 2025/26

1) Machida Zelvia

2) Vissel Kobe

3) Buriram United

4) JDT