Gamba Osaka berjaya menewaskan Al Nassr dalam aksi final yang dilangsungkan di hadapan penyokong Al Nassr di Arab Saudi.

Cristiano Ronaldo sekali lagi terpaksa menelan kekecewaan besar selepas Al Nassr gagal menjulang trofi AFC Champions League 2.

Jaringan tunggal perlawanan adalah hasil gol Deniz Hummet pada minit ke-29, di mana dia merembat deras mendatar menewaskan Bento.

Al Nassr mendominasi sebahagian besar perlawanan dan melakukan serangan bertali arus. Namun Gamba Osaka kental bertahan terutamanya penjaga gol mereka, Rui Araki yangg sangat cemerlang.

Kekalahan Al Nassr itu menambah satu lagi bab pahit dalam perjalanan bintang Portugal itu di Arab Saudi, yang masih belum menyaksikan beliau meraih kejuaraan rasmi bersama kelab tersebut.

Sejak tiba di Riyadh dua setengah tahun lalu, Ronaldo terus menjadi tumpuan utama revolusi besar Al Nassr. Namun, walaupun prestasi individunya masih konsisten pada tahap elit, koleksi trofi besar yang diidamkan masih belum menjadi kenyataan.

Liga Saudi kini jadi talian hayat terakhir

Al Nassr kini perlu segera mengalihkan fokus kepada aksi terakhir Liga Pro Saudi pada 21 Mei menentang Damac.

Perlawanan ini menjadi penentu hidup-mati dalam perebutan kejuaraan liga musim ini.

Situasi semasa cukup genting β€” Al Nassr wajib menang untuk terus menghidupkan peluang menjuarai liga.

Jika mereka sekadar seri, nasib mereka akan bergantung kepada keputusan Al Hilal yang ada kelebihan rekod ‘head to head’ dengan Al Nassr.

Satu-satunya kejuaraan yang pernah diraikan Ronaldo di Arab Saudi ialah Arab Club Champions Cup 2023, namun kejohanan itu tidak diklasifikasikan sebagai trofi major. Iannya kejohanan jemputan/pra-musim.

Sejak itu, Al Nassr beberapa kali tersungkur di pentas besar termasuk dalam saingan liga dan kejohanan Asia, sekali lagi menambah naratif bahawa kejayaan individu Ronaldo masih belum diterjemahkan kepada kejayaan pasukan.

Agak ironi kerana Ronaldo terus mencatat statistik individu yang luar biasa, di mana dia menjaringkan gol demi gol dan memecah pelbagai rekod liga.

Namun, dalam bola sepak moden, dominasi individu tanpa trofi pasukan terus menjadi persoalan besar dalam legasi barunya di Asia.

Dengan satu perlawanan terakhir musim ini, semuanya masih belum berakhir. Cristiano Ronaldo kini benar benar harus fokus kepada aksi terakhir liga musim ini.