Kita sememangnya teruja dan berasa bangga setiap kali Malaysia disebut atau ditampilkan dalam mana-mana projek antarabangsa, baik dalam filem, siri TV, mahupun permainan video.

Baru-baru ini, tular sebuah video memperlihatkan Permainan video “Wolverine” terbitan Marvel yang akan datang, dijadualkan untuk pelancaran pada tahun 2026, kelihatan menampilkan satu misi yang berlatarkan di Malaysia.

Dalam trailer pelancaran permainan video itu, Wolverine dilihat sedang bertarung melawan musuh di sebuah kawasan pasar. Yang menarik perhatian, papan-papan tanda gerai di pasar tersebut memaparkan tulisan dalam bahasa Cina dan Tamil, serta satu papan tanda dalam Bahasa Melayu yang jelas tertulis “Rempah Lima Beradik”.

Papan tanda yang bertulis dalam Bahasa Melayu itu boleh dilihat pada saat ke-55 dalam video tersebut (trailer).

Walaupun pembangun permainan video (Insomniac Games) tidak secara terang-terangan menyebut Malaysia, ramai pengguna di media sosial telah mengenal pasti lokasi dalam permainan itu sebagai Madripoor, sebuah negara fiksyen.

Selain itu, kelihatan tulisan cina yang menggambarkan pelbagai bangsa dan kaum yang serupa seperti lapisan masyarakat yang terdapat di negara Malaysia tercinta ini.

Apa itu Madripoor?

Ada 'Rempah Lima Beradik' Dalam Trailer Wolverine PS5, Adakah Marvel Akan Tampilkan Malaysia?
Sumber Gambar: CBR

Madripoor bukanlah sebuah pulau biasa. Ia adalah sebuah negara pulau fiksyen yang terletak di rantau Asia Tenggara, dan terkenal di seluruh dunia komik sebagai syurga jenayah (criminal haven) yang tidak mengenal undang-undang. Keadaan tanpa kawalan ini telah menjadikannya pelabuhan utama untuk kegiatan penyeludupan dan aktiviti haram lain.

Ciri paling ketara di Madripoor ialah jurang ekonomi yang ekstrem. Pulau ini menjadi gambaran jelas perbezaan antara golongan yang kaya-raya dan yang hidup dalam kemiskinan yang melampau. Pembahagian geografi Madripoor mencerminkan ketidakseimbangan ini dengan jelas melalui dua kawasan utamanya:

Hightown: Kawasan atas yang mewah dan eksklusif. Di sini, golongan elit dan sindiket jenayah berprofil tinggi beroperasi dalam kemewahan, dengan korupsi yang bertindak sebagai jaminan keselamatan mereka.

Lowtown: Berlawanan sama sekali, Lowtown adalah kawasan miskin di mana kebanyakan penduduk hidup dalam kesusahan. Ia juga merupakan sarang bagi pelbagai kegiatan jenayah jalanan.

Menurut IGN Asia Tenggara, sejarah Madripoor boleh dijejak kembali kepada asal usul lanun.

Akar sejarah inilah yang menjelaskan mengapa jenayah dan rasuah telah sebati dalam sistem pentadbiran pulau tersebut, sehingga pihak berkuasa memilih untuk mengabaikan atau terpaksa tunduk kepada aktiviti haram yang berleluasa.

Secara keseluruhannya, Madripoor direka sebagai sebuah lokasi unik di mana moral dan undang-undang sering digadaikan demi kekayaan dan kuasa, menjadikannya salah satu tempat fiksyen yang paling berbahaya dan menarik dalam semesta komik.

Walaupun teori (Madripoor) itu nampak munasabah, terdapat imej yang bocor di Reddit dua tahun lalu yang menunjukkan adiwira mutan itu (Wolverine) sedang mengkaji peta Malaysia Timur.

Kebocoran ini seterusnya mencetuskan spekulasi bahawa mungkin ada studio permainan video dan animasi dari Malaysia yang turut terlibat dalam projek tersebut.

Ini bukanlah kali pertama studio dari Malaysia menyumbang kepada penerbitan permainan video utama di peringkat antarabangsa.

Memandangkan permainan Wolverine ini berlatarkan di pelbagai lokasi di seluruh dunia, adalah munasabah bagi pembangun utamanya, Insomniac Games, bekerjasama dengan pasukan dari setiap negara terlibat bagi memastikan representasi yang asli.