Aku tak suka bekerja di kubikel denggi. Leceh dan rumit. Terutamanya jika kerja shif malam.

Semua orang tahu rawatan untuk denggi adalah rawatan simptomatik. Apa yang penting ialah rehidrasi dan kawalan suhu badan, selebihnya akan diuruskan oleh sistem imuniti. Namun begitu, denggi tidak boleh dipandang enteng. Jika imuniti gagal mengawal keadaan, ia boleh membawa maut.

Sebab itu, jika kes demam denggi parah, pesakit akan dimasukkan ke wad untuk pemantauan. Antara perkara yang dipantau rapi adalah; bacaan platelet, hematokrit dan sel darah putih di dalam darah. Untuk tujuan itu, doktor akan ambil sampel darah setiap 6 jam.

Malam itu aku berkerja shif malam, bermula jam 9 malam. Jadi, aku perlu ambil darah pesakit denggi jam 12 tengah malam dan 6 pagi. Setelah habis rondaan malam, aku mula mengambil darah. Ketika itu jam menunjukkan pukul 11.55 malam.

Semuanya berjalan lancar dan kini tinggal seorang lagi pesakit sahaja yang perlu diambil darahnya. Aku pun menyorong troli yang dilengkapi dengan peralatan untuk prosedur pengambilan sampel darah ke katil pesakit yang terakhir.

“Maaf ganggu pakcik tidur. Boleh saya ambil darah pakcik?” aku meminta izin setelah menyelak tirai yang mengelilingi katil.

Berkerut-kerut muka pakcik berumur setengah abad itu. Matanya digosok. Pastinya bukan kerana gatal. Mungkin kerana silau diterjah lampu kalimantang di kepala katil yang aku baru buka tadi.

“Ambillah,” katanya sambil menyerah tangan kanannya dengan pasrah. Mukanya kelat.

Oleh kerana darah perlu diambil begitu kerap, doktor satu masukkan branula pada salur vena, khas untuk ambil darah sahaja. Tak perlu cucuk setiap kali mahu ambil sampel darah. Kalau setiap hari kena cucuk 4 kali, bukan sahaja pesakit tak mahu, doktor pun tak larat.

Sewaktu aku mahu sedut darah ke dalam picagari, aku terasa seperti ada seseorang di sebelahku, tapi di luar kepungan tirai. Kehadirannya mengganggu fokus, sehingga aku terpaksa memberhentikan prosedur pengambilan sampel darah. Sungguh tidak selesa.

Kidney dish
Kidney dish

“Siapa yang berdiri di luar tirai tu? Ada apa-apa saya boleh bantu?” tanyaku sambil meletakkan picagari ke dalam kidney dish.

Sepi. Tiada jawapan. Aku toleh muka pakcik. Pakcik mengangkat bahu sambil mencebik bibir tanda tak tahu. Ralat. Sepi itu memanggil aku untuk menyiasat. Lantas bingkas aku bangkit dari tinggungan dan segera menyelak tirai.

Tiada siapa.

Aku jengah sekeliling. Di katil sebelah, di kerusi malas, di penjuru bilik dan di katil bertentangan. Tiada sesiapa kecuali seorang pesakit yang menggunakan ventilator di katil bertentangan. Dia tak dipindahkan ke unit rawatan rapi kerana unit itu sudah penuh.

“Tak ada siapa pun. Perasaan saya je kot,” ujarku sebaik sahaja kembali ke sisi katil pakcik.

Ambil darah melalui branula. UVAS
Ambil darah melalui branula. UVAS

Prosedur pengambilan sampel darah diteruskan. Darah disedut ke dalam picagari kemudian dimasukkan ke dalam tiub darah. Sewaktu aku flush larutan heparin saline ke dalam branula untuk mengelakkan pembentukan darah beku dalam saluran branula yang boleh menyebabkan ia tersumbat, sekali lagi terasa kehadiran susuk tubuh di sebelahku, lantas aku menoleh ke arahnya.

Ya Allah!

Buntang. Cengkung. Menyeringai. Aku terpaku. Jantung berdetak bagai derapan ladam kuda lumba. Meremang bulu roma, terasa hangat menjalar di pundak dan dingin meniti di tengkuk. Jariku terasa kebas.

Di celah antara dua tirai, terlihat wajah yang mengintai. Hanya sebahagian mukanya terlihat, selebihnya terlindung di sebalik tirai. Itu pun cukup ngeri sehingga adrenalin menguasai diri.

“Awat doktor?” tegur pakcik.

Aku alihkan pandangan aku ke arah pakcik dan kemudian kembali menjeling di celahan tirai. Sudah tiada. Wajah itu sudah tiada. Aku bingkas bangun dan menyingkap tirai.
Tiada sesiapa.

Setelah buat tinjauan di kubikel itu dan tidak terlihat sesiapa yang mencurigakan, aku lihat jam sudah 1 jam melepasi tengah malam. Ah! Baik aku teruskan tugas aku. Banyak lagi kerja perlu dibuat selepas ambil darah.

Lalu aku tinggalkan kubikel pakcik untuk meneruskan kerja seterusnya.

“OI! JANGAN KACAU AKU! PERGI!”

Kedengaran suara pakcik yang aku ambil darah tadi berteriak. Aku bergegas mendapatkannya.

“Kenapa pakcik?” tanyaku.

“Ada tangan keluar dari bawah katil!”

“Hah?”

“Dia ambil darah dari dalam bekas ni.”

"Ada tangan bawah katil!", kata pakcik.
“Ada tangan dari bawah katil!”, kata pakcik.

Pakcik mendakwa ada tangan dari bawah katil yang mengambil tiub-tiub darah yang sudah berisi dari kidney dish yang berada di atas troli darah. Aku enggan percaya, namun tak dapat aku jelaskan ke mana hilangya tiub-tiub itu. Puas sudah mencari. Selongkar dan geledah. Tak jumpa juga.

12 tiub keseluruhannya. Hilang tanpa jejak.

Malam itu aku perlu ambil darah semua pesakit sekali lagi. Mujur ada branula. Oh ya! Kali ini aku buka tirai pesakit semasa mengambil darah dan semua tiub yang sudah berisi, aku letak di dalam poket kot putih aku.

Semua keputusan darah pesakit malam itu tidak tepat.

Biasanya sampel darah hanya akan diambil semula selepas 6 jam daripada pengambilan sebelumnya jadi larutan heparin saline yang di-flush ke dalam branula sudah meresap ke dalam peredaran vena.

Namun malam itu, sela masa antara pengambilan sampel darah hanya 30 minit. Ia menyebabkan sampel darah kedua tercemar dengan heparin saline berkepekatan tinggi, lantas menyebabkan bacaan keputusan darah tidak tepat.

Hmmm.

Lantaklah! Kalau aku jelaskan apa yang berlaku, orang mungkin tak percaya. Maka, aku diamkan sahaja.

Kini hanya seorang sahaja yang boleh mengesahkan kesahihan cerita ini, dan akulah orang itu. Pakcik yang terlibat tu? Beliau meninggal beberapa hari selepas kejadian itu kerana komplikasi denggi yang parah.

Kebetulan? Entahlah.

BACA: ‘Night Round’ Malaikat Maut, Pengalaman Aku Saksikan 4 Kematian Berturut Dalam Satu Malam