Hasrat peminat bola sepak tempatan untuk melihat dua wakil negara mara ke peringkat separuh akhir Zon ASEAN dalam saingan Piala AFC 2023/24 mungkin tidak jadi kenyataan.

Ketika Sabah sudah pun mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir Zon ASEAN selaku juara kumpulan H semalam namun peluang Terengganu FC (TFC) sangat tipis walaupun mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Berdasarkan format pertandingan, hanya 3 juara kumpulan dan satu naib juara kumpulan terbaik sahaja akan layak ke peringkat separuh akhir Zon ASEAN.

Terengganu ketika ini berada di tangga kedua kumpulan G dengan 9 mata hasil daripada 2 kemenangan dan 3 keputusan seri. Mereka hanya dipisahkan satu mata dengan pendahulu kumpulan, Central Coast Mariners dari Australia.

Untuk layak menerusi slot naib juara kumpulan terbaik agak sukar kerana kelab kemboja, Phnom Penh Crown kini berada di kedudukan teratas dengan 12 mata selepas mencatat 4 kemenangan dalam 5 perlawanan yang diharungi.

Phnom Penh Crown juga memiliki kelebihan dari segi jumlah perbezaan jaringan dan mereka dijangka tiada masalah untuk menewaskan Shan United pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Kedudukan terkini naib juara kumpulan terbaik.

Peluang Terengganu untuk mara turut bergantung kepada keputusan perlawanan Central Coast Mariners menentang kelab Filipina, Stallion Laguna pada 13 Disember nanti.

Terengganu wajib menang ke atas Bali United dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan sambil mengharapkan Central Coast Mariners mengutip 1 mata atau tewas.

Situasi ini akan menobatkan Terengganu sebagai juara kumpulan G dengan 12 mata sekaligus menempah tiket ke separuh akhir Zon ASEAN.

Bagaimanapun, peluang tetap tipis kerana Central Coast Mariners sudah pasti enggan keciciran 3 mata.

Hanya keajaiban yang dapat membantu Terengganu dan jika berjaya ke separuh akhir Zon ASEAN, lawan mereka di peringkat itu akan diketahui selepas undian rasmi dijalankan pada 21 Disember 2023.