Masalah teknikal yang terjadi ke atas teknologi Video Assistance Referee (VAR) menjadi penghalang kepada Terengganu FC untuk membawa pulang tiga mata ketika menentang Penang FC dalam aksi Liga Super semalam.
Pada separuh masa pertama, Terengganu menjaringkan gol menerusi Manuel Ott tetapi pengadil iaitu S.Logeswaran membatalkan jaringan tersebut selepas pembantu pengadil mengangkat bendera yang menunjukkan pemain itu berada dalam kedudukan ofsaid.
Baca Juga:
- Wolves Tulis Surat Rasmi Kepada EPL, Mohon Buang VAR Musim Hadapan
- MFL: Masalah Teknikal VAR Sudah Dijangka
- FIFA Luluskan Penggunaan VAR Dalam Liga Malaysia 2024/25
Akan tetapi, melihat kepada ulang tayang, Ott berada dalam kedudukan on side dan gol tersebut sepatutnya dibenarkan oleh pengadil perlawanan.
Peminat nyata hairan dengan keputusan tersebut tambah lagi tiada pemain skuad Penyu yang cuba membantah keputusan tersebut atau meminta Logeswaran merujuk kepada VAR.
Selepas perlawanan, Pengarah Sukan kelab iaitu Zul Fadli Rozi menjelaskan mengapa pemain pasukan pelawat tidak membantah keputusan pengadil.
“Ramai yang tanya kenapa pemain tidak meminta pengadil untuk merujuk VAR bagi jaringan yang dihasilkan oleh Ott. Kenyataannya adalah pada minit ke-20, kami diberitahu oleh pegawai perlawanan fungsi VAR untuk kedudukan ofsaid tidak dapat digunakan kerana masalah teknikal yang melibatkan Stadium Bandaraya,” kata Zul Fadli.
Perlawanan semalam bukan kali pertama teknologi VAR tidak dapat digunakan dengan sepenuhnya ekoran masalah teknikal yang melibatkan venue digunakan untuk perlawanan liga.
Seperti yang dapat disaksikan, teknologi baharu dalam kancah bola sepak Malaysia itu tidak dapat digunakan di Stadium Temerloh (Sri Pahang lawan Kelantan United) dan Stadium Likas (Sabah lawan Penang) berikutan masalah teknikal dihadapi pada saat-saat akhir.
Masalah ini juga diakui oleh oleh Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan.
“Ada kesilapan teknikal di sana. Dia (masalah teknikal VAR) memang kita dah agak, perkara ini tak berlaku masa kita buat pra-musim VAR tempoh hari, tapi dia berlaku bila liga berjalan.”
“Jadi itu pun (masalah VAR) sudah dinyatakan Datuk Stuart Ramalingam (Ketua Pegawai Eksekutif MFL) peringkat awal bahawa ada kemungkinan berlaku perkara aspek teknikal dan sebagainya.
“Dan akhirnya ia berlaku semasa di Temerloh dan juga dekat Sabah,” ujar Ab Ghani menurut sumber laporan Harian Metro.