Mulai 1 April ini, syarikat insurans AIG tidak lagi bertanggungjawab ke atas kerugian yang timbul daripada kemalangan melibatkan kereta McLaren yang berlaku di luar Singapura.
Keputusan itu dibuat selepas kemalangan tanpa kecederaan membabitkan tiga buah McLaren yang dalam perjalanan menuju ke Kluang pada 29 Oktober tahun lalu.
Baca Juga:
- Cuai Semasa Pandu Kereta, Tiga McLaren Dari Singapura Terlibat Pelanggaran Berangkai
- Pasangan Suami Isteri Warga Singapura Parah, Porsche 911 Dakar Rempuh Tiang Di Kluang
- Anak Pemilik Bengkel Di Malaysia ‘Joyride’ Sampai Kemalangan, Tuan Kereta Warga Singapura Tuntut Keadilan
Daripada maklum balas yang diterima @straits_times, AIG berkata keputusannya dibuat berdasarkan ‘peningkatan luar biasa’ dalam kekerapan kemalangan teruk yang melibatkan model McLaren di Malaysia.
AIG enggan mengulas lanjut ketika dihubungi The Straits Times.
Cuai Semasa Pandu Kereta, Tiga McLaren Dari Singapura Terlibat Pelanggaran Berangkai
Sementara itu, salah seorang pemilik McLaren yang terlibat dalam kemalangan di Kluang terbabit, seorang ejen hartanah berusia 31 tahun berkata berita tersebut mengejutkan beliau.
Tambahnya lagi, AIG telah mengenakan premiumnya ‘lima kali ganda’ daripada premium semasanya semasa pembaharuan polisi.
“Saya tidak faham mengapa McLaren dipilih. Terdapat banyak kemalangan lalu di Malaysia yang melibatkan jenama lain. Jadi saya agak hairan.
“Jelas sekali, saya tidak akan kembali kepada mereka (AIG). Saya boleh faham jika ia naik dua kali ganda, tetapi ini lima kali ganda,” luah beliau.
Terdahulu, sebuah McLaren 570S, Artura dan 720S dari Singapura terlibat dalam satu kemalangan berangkai kira-kira 9 pagi, 29 Oktober 2023.
Insiden itu berlaku apabila salah sebuah daripada kenderaan itu ingin membelok memasuki simpang di Kilometer 63 Jalan Yong Peng, di sini.
Difahamkan kereta paling belakang gagal dikawal sehingga merempuh kenderaan tengah yang sedang berhenti, kemudian kenderaan itu melanggar kereta paling hadapan yang mahu masuk ke simpang kanan.
Dalam pada itu, Encik Chong Kah Wei, pengarah urusan McLaren di pengedar pelbagai jenama Eurokars, berkata tindakan AIG itu dilihat untuk kepentingan mereka sendiri. Tetapi pihaknya mempunyai rakan kongsi insurans lain seperti Liberty.
“Kami sedang berusaha untuk memindahkan beberapa pelanggan kepada Liberty, supaya mereka dijaga. Sementara itu, kami sedang berbincang dengan AIG untuk melihat bagaimana kami boleh mengurangkan kesan kepada pelanggan sedia ada,” jelas beliau.