Pada beberapa hari lalu tular satu hantaran Facebook mendedahkan ajaran Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad cuba dihidupkan kembali oleh gerakan pihak tertentu di sekitar Besut.

“Ajaran Ayah Pin yang diwartakan sesat oleh kerajaan Terengganu pada 1997, kini didapati ada gerakan untuk dikembangkan semula di daerah Besut,” petik hantaran Facebook itu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Walaupun hantaran Facebook itu telah dipadam, namun ia tetap menjadi perhatian dan fokus utama penguatkuasa dan kerajaan negeri Terengganu serta Pahang.

Bagaimanapun, penduduk di Kampung Batu 13 di Hulu Besut menafikan dakwaan terdapat usaha menghidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin di perkampungan itu seperti yang tular di media sosial, petik Sinar Harian.

Menurut salah seorang penduduk di situ, beliau berkata, sebaliknya perhimpunan yang sering dilihat itu adalah majlis keramaian dan kenduri-kendara yang dianjurkan oleh ahli keluarga dan saudara-mara Ayah Pin termasuk yang terbaharu majlis perkahwinan anak Ayah Pin pada bulan lepas.

“Saya terkejut apabila tiba-tiba sejak beberapa hari kebelakangan ini kecoh kononnya ajaran Ayah Pin cuba dihidupkan semula. Sebagai penduduk yang tinggal berdekatan, saya tidak nampak ada aktiviti mencurigakan di penempatan yang dihuni oleh lebih 100 penduduk ini.

“Cuma baru-baru ini (Februari lepas) memang ada majlis kenduri perkahwinan anak Ayah Pin dan ramai saudara mereka datang termasuk saya turut dijemput. Ahli keluarga Ayah Pin yang tinggal di sini selalu buat majlis keramaian termasuk sambutan hari jadi,” katanya.

Perkara itu turut disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu 13, Ab Ghani Mamat.

Beliau menyatakan tidak melihat sebarang aktiviti mencurigakan dalam tempoh terdekat dan pihak berkuasa memang sentiasa memantau penempatan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata tiada sebarang kegiatan dan usaha untuk menghidupkan semula ajaran sesat terbabit di negeri Pahang.

Ini kerana terdapat dakwaan ajaran Ayah Pin yang mahu dihidupkan semula oleh pengikutnya, dan mula menular ke negeri lain termasuk Pahang iaitu di Rompin dan Pekan, lapor Astro Awani.

Sumber Gambar: Ghazali Kori / NSTP

Dalam pada itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan daripada semua sudut sebelum sebarang tindakan diambil.

“Berkenan (pemilik akaun) Imam Muda Kulan’ itu, kita akan buat siasatan (dan) kalau perlu, kita akan panggil dia untuk keterangan lanjut.

“Setakat ini, kita mahu melihat daripada semua sudutlah (termasuk) apa tindakan yang perlu kita ambil,” katanya.

Beliau berkata sedemikian selepas meninjau penempatan pemimpin ajaran sesat itu di Kampung Batu 13, Hulu Besut.

Pada masa sama beliau meluangkan masa hampir 30 minit berbual bersama ahli keluarga Ayah Pin termasuk salah seorang isterinya, Jaharah Awang, 64.