Akademi Real Madrid, La Fabrica menutup jendela perpindahan musim panas yang bersejarah selepas menjana hasil jualan pemain mencecah nilai €210 juta.

Ia merupakan satu angka yang belum pernah dicapai kelab gergasi Sepanyol itu sebelum ini.

Pulangan lumayan dari Valdebebas itu juga berjaya membiayai hampir keseluruhan rombakan besar-besaran yang dilakukan terhadap skuad utama kelab tersebut.

Akademi ‘Bantu’ Real Madrid

Perpindahan Manuel Angel ke Fulham dengan nilai €4 juta dan Chema Andres ke Brighton yang menyaksikan Madrid menerima €11.5 juta pada hari terakhir jendela perpindahan sekali gus melengkapkan satu tempoh luar biasa buat kelab itu dalam menjana pendapatan menerusi penjualan pemain akademi.

Hasil yang dijana akademi tersebut secara praktikalnya membiayai hampir keseluruhan rombakan skuad utama bernilai €240 juta pada musim panas ini, sekali gus membantu Madrid mendapatkan beberapa pemain baharu seperti Yan Diomande, Marc Cucurella, Carlos Espi dan Denzel Dumfries.

Daripada prospek semasa di Valdebebas seperti Cesar Palacios dan Jacobo Ortega, hinggalah hak jualan semula yang masih dimiliki bagi bekas graduan akademi seperti Nico Paz dan Mario Martin, La Fabrica menjadi pemacu utama kepada keseluruhan aktiviti kewangan kelab sepanjang jendela perpindahan kali ini, seperti dilaporkan Goal.

Kekuatan ekonomi yang dipamerkan La Fabrica membuktikan keberkesanan visi jangka panjang yang dimulakan oleh Presiden Real Madrid, Florentino Perez pada 2020.

Dalam menghadapi persaingan daripada kelab yang mendapat sokongan negara seperti Manchester City dan Paris Saint-Germain, Real Madrid memberi keutamaan untuk menjadikan Valdebebas sebagai pusat pembangunan bakat bertaraf elit yang mampu memaksimumkan pulangan dari sudut kewangan dan prestasi sukan.

Perez kemudiannya melakukan penstrukturan semula sistem akademi kelab di bawah kendalian Pengarah Bola Sepak, Manu Fernandez bagi memodenkan proses pencarian bakat, metodologi serta pengurusan di semua peringkat umur.

Sumber