Kisah menyentuh hati tular apabila seorang ibu meluahkan rasa syukur tidak terhingga atas tindakan pantas dan profesional kru penerbangan AirAsia AK115.

Anak perempuannya dilaporkan mengalami kecemasan perubatan semasa penerbangan dari Guangzhou ke Kuala Lumpur pada 4 Julai 2026, jam 5:55 pagi.

Menerusi akaun Facebook bernama Jacyntha Florentius, wanita mendakwa anak perempuannya yang berusia setahun 7 bulan dengan nama manja Tashya telah terbangun selepas tidur lebih 1.5 jam selepas kapal terbang berlepas.

Sebaik selesai disusukan, anaknya kelihatan tenang namun secara tiba-tiba keadaan menjadi panik susulan melihat keadaan wajah dan bibir Tashya yang berubah menjadi pudar serta didapati mengalami kesukaran untuk pernafasan dan tidak responsif.

Aksi Heroik Kru AirAsia Selamatkan Bayi Sakit Dalam Penerbangan, Ibu Luah Rasa Terima Kasih Tak Terhingga
Sumber Gambar: FB Jacyntha Florentius

Melihat keadaan anaknya yang kian membimbangkan, si ibu tidak berlengah dan segera meminta bantuan kru kabin. Tanpa membuang masa, kru bertindak pantas memberikan oksigen, dan syukurlah, bayi tersebut kembali stabil.

Kecekapan kru tidak terhenti di situ, mereka turut memanggil doktor yang kebetulan berada dalam pesawat.

Lebih luar biasa, juruterbang bertindak menurunkan altitud penerbangan bagi membantu pernafasan bayi, menunjukkan komitmen luar biasa mereka terhadap keselamatan penumpang.

Tindakan bersepadu ini adalah kunci utama dalam menyelamatkan nyawa si kecil.

Ketenangan dan kecekapan kru dalam mengendalikan situasi genting ini bukan sahaja menyelamatkan nyawa bayi tersebut, malah turut menjadi bukti komitmen AirAsia terhadap keselamatan penumpang.

Setelah keadaan bayi kembali reda dan stabil, pesawat tidak mengambil risiko dan segera diarahkan untuk melakukan pendaratan cemas di Ho Chi Minh.

Sepanjang tempoh penurunan altitud itu, kru AirAsia menunjukkan dedikasi luar biasa dengan terus memantau keadaan bayi tanpa henti.

Mereka juga memberikan sokongan moral dan praktikal kepada kedua-dua ibu bapa yang sedang cemas, memastikan keluarga itu tidak berasa sendiri dalam situasi genting tersebut.

Setibanya pesawat di lapangan terbang Ho Chi Minh, pasukan perubatan telah sedia menanti dengan pantas. Tanpa membuang masa, mereka terus menaiki pesawat untuk menilai keadaan Natashya sebelum segera membawa seluruh keluarga ke hospital.

Bukan itu sahaja, barangan mereka turut diturunkan dengan segera, memastikan tiada lagi kelewatan dalam mendapatkan rawatan yang diperlukan.

Segalanya berjalan lancar, demi memastikan Natashya menerima perhatian perubatan terbaik secepat mungkin.

Bukan hanya kru kabin, si ibu turut memanjangkan pujian tinggi buat kecekapan dan keprihatinan pegawai darat AirAsia di Ho Chi Minh, Mr. Alan Vuu.

Beliau dilaporkan menemani keluarga tersebut sepanjang proses rawatan di hospital, memberikan sokongan moral dan praktikal yang tidak ternilai.

Lebih mengagumkan, Mr. Alan Vuu memastikan mereka tidak perlu menunggu lama, dalam tempoh satu jam sahaja, semua ujian penting seperti ECG, ekokardiogram, dan X-ray telah berjaya disempurnakan. Dedikasi luar biasa Mr. Alan Vuu jelas meringankan beban keluarga dalam situasi yang mencemaskan itu.

Lebih menyentuh hati lagi apabila syarikat AirAsia sedia menaja penerbangan pulang ke Kuala Lumpur dan memudahkan segala urusan hingga ke ruang menunggu pada ketika itu.

Oleh itu, wanita itu berharap agar pihak AirAsia pertimbangkan memberi ganjaran sewajarnya kepada semua staf yang terlibat yang disenaraikan secara khusus di dalam hantaran itu kerana bertindak pantas, penuh empati dan sangat profesional ketika berhadapan situasi genting itu.

Dia juga tidak lupa untuk berterima kasih dengan doktor dan juga penumpang yang sedia memberi pertolongan dan menjalani keadaan kritikal itu bersama dengan tenang.

Hantaran penghargaan itu telah mendapat perhatian netizen dengan menerima lebih 207,000 tanda suka, 39,000 perkongsian dan 1,600 komen.

Rata-ratanya bersyukur dengan keadaan anaknya yang semakin pulih dan bangga melihat bagaimana ketangkasan anak kapal tempatan memberikan servis yang profesional dan bertaraf dunia kepada penumpang.