Skuad futsal Malaysia yang kini dalam persiapan mengharungi Kejuaraan Futsal AFF 2024 akan terbang ke Yogyakarta untuk berhadapan dengan Indonesia pada Ahad ini.

Perlawanan yang pastinya bakal berlangsung dengan cukup sengit dan dipenuhi ribuan penyokong tuan rumah itu amat penting buat ketua jurulatih skuad negara, Rakphol Sainetngam walaupun ia hanyalah satu perlawanan persahabatan.

Baca Juga:

Aksi dengan intensiti tinggi, berdepan lawan yang cukup baik serta seperti diketahui sikap fanatik penyokong Indonesia ketika memberikan sokongan, ia sedikit sebanyak akan menjadi pentas terbaik buat Rakphol untuk melihat sejauh mana kemampuan anak buahnya pada perlawanan tersebut.

Semua itu amat diperlukan kerana pengendali dari Thailand tersebut mensasarkan untuk menjuarai saingan AFF yang dijadualkan berlangsung di Terminal 21, Nakhon Ratchasima pada 2 hingga 11 November.

Perlawanan menarik dimana perseteruan kedua-dua negara  yang memang tidak perlu untuk diperkatakan itu bakal berlangsung di GOR Amongrogo pada 8.00 malam hari Ahad nanti.

Aksi Penting Sebelum AFF 2024, Skuad Futsal Malaysia Hadapi Indonesia Di Yogyakarta
Sesi latihan skuad futsal negara di Kelana Jaya. Kredit Foto: FAM

Melihatkan kepada rekod pertemuan pada dua aksi terakhir, skuad negara tewas 1-5 pada Kejuaraan AFF 2021 dan tewas 0-3 ketika aksi Sukan SEA di Vietnam dimana pada ketika itu Malaysia dibimbing oleh Chiew Chun Yong.

Sejak berada di bawah kendalian Rakphol bermula 7 Ogos 2023, skuad futsal Malaysia tidak pernah beraksi menentang Indonesia.

Lebih menarik, Indonesia bukanlah asing buat Rakphol kerana pernah membimbing kelab saingan Liga Pro di sana iaitu Black Steel Papua.

Sehubungan dengan itu, beliau jelas cukup mengenali barisan pemain yang bakal diturunkan Indonesia nanti dan diharapkan ia memberikan nilai tambahan untuk Malaysia mencipta kemenangan di gelanggang lawan tersebut.

Pada Kejuaraan Futsal AFF 2024 nanti, skuad negara telah diundi berada dalam kumpulan A bersama-sama Thailand, Vietnam, Timor Leste dan Brunei.