Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan tarikh perlawanan Liga Super 2024-2025 antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang ditunda sebelum ini ke tarikh baharu iaitu pada 10 November 2024, jam 5 petang.
Perlawanan minggu 9 Liga Super tersebut sepatutnya berlangsung pada 5 Oktober 2024 namun terpaksa ditangguhkan oleh Komisioner Perlawanan susulan keadaan padang di Stadium Perak, Ipoh yang tidak sesuai digunakan akibat hujan lebat yang turun sebelum sepak mula jam 8:15 malam.
Baca Juga:
- MFL: Dakwaan Perak FC Adalah Tidak Benar
- ‘Kami Tidak Diberi Peluang Untuk Berbincang’ – Pengerusi Perak FC
- Kualiti Padang Teruk, Venue Aksi Gwangju FC Menentang JDT Ditukar
Menurut kenyataan MFL, penetapan tarikh baharu perlawanan itu juga menyebabkan tarikh pusingan 16 TM Piala Malaysia yang sepatutnya berlangsung pada 8-10 November 2024 dan 22-24 November 2024 ditukar ke tarikh lain.
“Jadual Pusingan 16 TM Piala Malaysia ini diubah kerana perlu menunggu aksi tertunda antara Perak FC menentang JDT ini yang akan berlangsung pada 10 November 2024 bagi melengkapkan kedudukan Liga Super selepas minggu 13 perlawanan bagi menjalankan Undian TM Piala Malaysia.
“Justeru, tarikh baharu bagi perlawanan pertama Pusingan 16 TM Piala Malaysia akan bermula pada 20 November – 24 November 2024 manakala perlawanan kedua Pusingan 16 pula berlangsung pada 29 November – 1 Disember 2024,” kata MFL.
MFL hari ini mengumumkan tarikh perlawanan Liga Super 2024-2025 antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang ditunda sebelum ini ke tarikh baharu.#LigaSuper2024-25 #LigaMalaysia #DemiLigaKita
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 11, 2024
Dengan tarikh baharu yang ditetapkan itu turut menyaksikan perlawanan minggu 16 Liga Super yang sepatutnya bermula pada 29 November 2024 akan dipinda ke bulan Disember yang mana baki jadual penuh Liga Super 2024-2025 akan dimaklumkan dalam masa terdekat.