Penjaga gol muda, Razin Rafiqeen Mohd Romizi muncul wira dalam membantu Ashby Rovers muncul juara Piala Cheetah 2023 setelah berjaya menundukkan Ipoh Unity Recreation Club (IURC) 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi final yang berlangsung di Kompleks Bola Sepak Perak, petang semalam.

Pemenang kejohanan dalam lingkungan usia 17 hingga 19 tahun itu terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas aksi sebenar terikat tanpa jaringan.

Meskipun beraksi dalam keadaan padang yang sedikit basah akibat hujan sebelum perlawanan, ia jelas tidak menganggu rentak kedua-dua pasukan.

Barisan pemain muda tersebut telah menyajikan corak permainan menarik dengan aksi saling berbalas serangan sepanjang perlawanan.

Raziq Rafiqeen beraksi cemerlang sepanjang kejohanan berlangsung

Penjaga gol kedua-dua pasukan terutamanya Razin Rafiqeen bertindak cemerlang dalam menggagalkan percubaan lawan.

Kemuncak kecemerlangan penjaga gol berusia 17 tahun itu dapat disaksikan apabila beliau berjaya menafikan tiga sepakan penalti yang dimbil pemain IURC.

Dengan tiga sepakan yang disempurnakan, ia sekali gus menghadiahkan kejuaraan buat Ashby Rovers sebagai penutup paling manis bagi tahun 2023.

Dengan kejayaan tersebut, Ashby Rovers membawa pulang trofi serta hadiah kemenangan wang tunai RM10,000 manakala IURC pula berpuas hati dengan RM6,000.

Sementara itu, Anderson All Stars meraih tempat ketiga selepas menundukkan Manjung United pada aksi penentuan tempat ke-3/4 yang diadakan di sebelah pagi.

Ketua pasukan Ashby Rovers, Mohamad Haziq Danish Mohd Hafidz telah dipilih sebagai Pemain Terbaik Kejohanan dan Penjaring Terbanyak.

Mengulas mengenai aksi tangkasnya pada perlawanan semalam, Razin Rafiqeen tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya dapat membantu Ashby Rovers.

“Alhamdulillah pasukan saya dapat mencapai kejuaraan. Saya amat berbangga dengan rakan sepasukan kerana bermain bermati-matian sehingga layak ke final.”

“Yang saya fikir dalam sepakan penalti, saya perlu yakin, Sekiranya hati saya bola akan ke sebelah kanan, saya akan pergi arah sana.”

“Saya harap Perak FC dapat melihat kemampuan saya untuk diserapkan ke skuad Piala Presiden. Tempoh hari saya ada menyertai sesi pemilihan dan menantikan sama ada nama akan terpilih ke pemilihan terakhir.”

Lebih menarik untuk diperkatakan, Razin Rafiqeen yang merupakan produk Sekolah Menenangah Kebangsaan Gunung Rapat (SSN Perak) hanya dibolosi satu gol daripada tujuh perlawanan dihadapinya.

Malah pengurus Ashby Rovers, Fareez Salehudin mendedahkan beliau mengambil risiko hanya mendaftarkan Razin sebagai satu-satunya penjaga gol dalam kejohanan ini kerana mengetahui kemampuan hebat dimiliki pemain tersebut.