Melihatkan kepada kejayaan penganjuran Piala Dato Seri Azim pada tahun lalu dalam mencungkil bakat baharu, Perak FC mengambil inisiatif dalam meneruskan kejohanan tersebut yang kini dikenali sebagai Piala Cheetah 2023.

Piala Cheetah bakal melibatkan penyertaan pemain dalam lingkungan usia 17 hingga 19 tahun dengan matlamat untuk mencari pemain berkualiti untuk memperkuatkan skuad Piala Presiden dan Piala Belia Perak bagi menghadapi musim 2024.

Baca Juga:

Difahamkan sejumlah 24 pasukan dari seluruh negeri Perak akan dibahagikan kepada zon utara, zon tengah dan zon selatan.

Pertandingan bagi peringkat zon utara akan berlangsung pada 9 Disember di Institut Latihan Teknologi (ADTEC) Taiping dimana melibatkan Manjung United, ADTEC FC, Legasi Setiakawan FC, MR8 FC, Batu Kurau FC dan PencintaSetia FC.

Seminggu kemudian, aksi di zon tengah pula diadakan dengan Universiti Teknologi Petronas menjadi lokasi pertandingan dengan penyertaan sembilan pasukan seperti Ashby Rovers, USAS FC, MHA FC, KB Young Pro, PUKEP FC, Elephant Village FC, Manjung Predators FC, Anderson All Star dan Ipoh Unity Recreation Club (IURC).

Manakala, SKTT FC, KB Sitiawan City, Silver MAYC FC, Lumut Wanderers FC, SEMETRO FC, Prima United, Anson Kidz FC, Chemor United dan UCFC akan berentap pada 23 Disember di kampus lama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim.

Kesemua pasukan tersebut akan berentap bagi merebut lapan slot terbaik (dua zon utara, tiga zon tengah dan tiga zon selatan) untuk melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara.

Saingan Liga Juara-Juara Piala Cheetah 2023 pula bakal berlangsung selama dua hari yang menyaksikan 30 Disember akan diadakan perlawanan peringkat awal di Ipoh Padang.

Manakala, 31 Disember pula berlangsungnya penentuan tempat ke-3/4 dan perlawanan akhir yang bertempat di Kompleks Bolasepak Perak, Chepor.

Hadiah wang tunai bernilai RM10,000 bakal menanti juara, RM6,000 naib juara, tempat ketiga dengan RM4,000 dan keempat menerima RM2,000.

Sementara itu bagi sesi pemilihan pemain untuk diserapkan ke sesi pemilihan pemain Piala Presiden dan Piala Belia, para pemain akan dinilai oleh Shahril Nizam Khalil (jurulatih skuad Piala Presiden Perak) serta Raja Azlan Shah Raja So’ib yang bertindak selaku Ketua Pembangunan & Pencarian Bakat Perak FC.

Kejohanan yang mula dianjurkan pada tahun 2022 itu berjaya mencungkil bakat pemain yang mampu diserapkan ke skuad Perak II dalam saingan Piala MFL.